Selepas percintaan lebih enam tahun dengan seorang gadis biasa menemui jalan noktah, penyanyi popular, Hazama kini dalam proses mengenali hati budi pemuzik tanah air, Genervie Kam. Walaupun perbezaan umur mereka empat tahun, namun ia tidak menjadi isu buat jejaka berusia 29 tahun ini untuk mendekati wanita berusia 33 tahun itu.
“Kami baru berkawan dalam enam bulan dan masih dalam proses untuk mengenali dengan lebih rapat. Kami tengah mencari keserasian dan Alhamdulillah, proses berjalan lancar. Dia seorang yang sangat memahami dan saya selesa bersamanya kerana kami ‘sekepala’. Kami banyak berbincang mengenai kerja dan ia menjadikan hubungan kami menjadi semakin rapat. Bidang kami juga sama dan ia membuatkan kami berdua saling memerlukan,” ujar pelantun lagu ‘Relakan Jiwa’ ini kepada GUA.
Ketika ditemui, Hazama turut memberitahu perbezaan agama dan bangsa tidak menjadi penghalang buatnya dan Genervie yang juga merupakan salah seorang anggota The Royale FT Force untuk menjadi lebih rapat. Malah, dia bersyukur kerana kedua-dua belah keluarga menerima hubungan mereka.
“Saya pernah jumpa keluarga dia secara santai dan saya sendiri pun pernah bawa dia berjumpa dengan keluarga saya. Setakat ini keluarga boleh menerima hubungan kami. Kami pernah berbincang mengenai isu agama dan dia seorang yang berfikiran terbuka. Apa-apa soal mengenai agama yang saya tahu, saya akan cuba jawab.
Walau bagaimanapun, isu ini agak sensitif dan saya tidak paksa dia untuk peluk Islam. Kalau dia hendak peluk Islam biarlah dari hati, bukan sebab cinta. Bagi saya, dia seorang yang sangat baik dan perlahan-lahanlah kita doakan,” ujar Hazama menyerahkan soal jodoh kepada Allah.
“Ikutkan hati memang nak kahwin cepat memandangkan umur saya dah nak masuk 30 tahun. Saya memang sudah bersedia untuk berkahwin tapi masa tidak sesuai lagi kerana buat masa sekarang, saya nak fokus terhadap album dahulu. Lagipun, saya baru nak mula bertapak dalam industri ini dan banyak lagi yang perlu saya tempuhi.
Saya mahu berada lama dalam industri ini dan mahu dikenali seperti Amy Search dan Ramli Sarip. Perkahwinan mungkin akan membataskan karier saya kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi namun, saya serahkan semuanya kepada jodoh,” luah Hazama lagi.
Dominasi Top 5 AIM 20
Dalam perkembangan lain, Hazama yang ditemui ketika majlis pengumuman Top 5 Anugerah Industri Muzik, petang Khamis turut melahirkan rasa syukur kerana menjadi penyanyi yang paling banyak dicalonkan dalam edisi ke-20 itu iaitu sebanyak lima pencalonan.
Antara kategori tersebut ialah Persembahan Vokal Terbaik (Lelaki), Kulit Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Album Terbaik serta Persembahan Vokal Duo/ Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu yang menyaksikan kolaborasinya dengan kumpulan Sleeq.
“Saya tak sangka tercalon bagi lima kategori kerana saya jangka akan tercalon untuk satu kategori saja iaitu vokal. Saya rasa orang dalam industri dah mula nampak usaha saya. Ini merupakan pencapaian saya yang paling tinggi dan saya rasa puas hati sangat walaupun belum menang lagi.
Alang-alang tecalon, siapa tak nak menang kan, tapi saya tak letak harapan yang tinggi. Jika boleh saya nak album saya menang kerana ia merangkumi kesemua hasil usaha saya. Namun, tak menang pun tak apa sebab calon-calon akhir pun hebat-hebat belaka,” ujar Hazama mengakhiri perbualan.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment