Budak 3 tahun patah bahu di taska

[x]

Budak 3 tahun patah bahu di taska

on Saturday, 5 October 2013


Khairul menunjukkan keadaan Adam yang asyik menangis dan terpaksa dipakaikan kain anduh sepanjang masa.

Itu yang terpaksa ditempuhi kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun selepas bahu kirinya disahkan patah ketika berada dalam jagaan sebuah taska di USJ 3.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Khairul Helmi Hussain, 29, berkata, dia dimaklumkan kejadian oleh pemilik taska kira-kira jam 5 petang Jumaat lalu selepas anaknya, Adam Hazimi dikatakan tidak berhenti menangis dari jam 12 tengah hari.

Khairul berkata, isterinya yang berada di tempat kerja bergegas pulang dan terus ke taska jagaan itu.

Sebaik tiba di taska, Adam masih tidak berhenti menangis dan apabila perkara itu ditanyakan kepada pekerja pusat jagaan kanak-kanak terbabit, mereka memaklumkan tidak tahu punca keadaan itu berlaku.

Bimbang sesuatu yang buruk apabila melihat anaknya tidak boleh bangun, Khairul berkata, dia dan isterinya membawa Adam ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pemeriksaan x-ray dijalankan mendapati tulang bahu kiri anaknya patah, disebabkan Adam masih kecil doktor memberitahu pembedahan tidak boleh dijalankan.

Sejak kejadian itu, katanya, Adam sering menangis dan merengek kerana sakit di bahagian yang patah itu

Katanya lagi, apabila isterinya menghubungi pihak taska pada hari kejadian, pemilik memberitahu anaknya mengadu sakit bahu sebelum itu.

Apa yang dikesalkan hanya selepas lima jam anaknya menangis baru perkara itu dimaklumkan kepadanya.

Khairul berkata, kini tangan Adam terpaksa dibalut dengan kain anduh sepanjang masa dan tidak mampu mengangkat tangannya.

Dia pula terpaksa mengambil cuti tanpa gaji menjaga Adam untuk mengelakkan kecederaan dalaman itu bertambah serius.

Laporan doktor turut memberitahu kecederaan berlaku mungkin akibat ditolak dengan kuat atau terlanggar sesuatu.

“Sebelum ini saya pernah membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak selesa melihat pihak taska mencampurkan kanak-kanak kecil dengan yang lebih besar.

“Anak saya selalu balik dengan kesam lebam di badan. Dulu saya boleh tutup mata, sekarang adakah pihak berkuasa mahu melihat kanak-kanak menemui maut baru tindakan diambil,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Khairul berkata, dia membuat laporan di Balai Polis USJ 8 berhubung perkara itu dan tidak teragak-agak memfailkan saman terhadap taska berkenaan sebagai pengajaran kerana lepas tangan terhadap apa yang berlaku.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved