Sebuah trak gergasi merempuh tempat duduk utama penonton semasa pertunjukan lagak ngeri di Taman El Rejon, pinggir Chihuahua, Mexico, kelmarin. - REUTERS
CIUDAD JUAREZ, Mexico 6 Okt. - Sekurang-kurangnya enam orang maut semalam apabila sebuah trak gergasi merempuh tempat duduk utama penonton selepas mengalami kegagalan brek pada satu persembahan di negeri Chihuahua, utara Mexico hari ini.
Pegawai berkata, kira-kira 47 yang lain turut cedera dalam kejadian pukul 7 malam waktu tempatan (1 petang waktu Malaysia) itu.
Jurucakap majlis perbandaran, Jose Luis Dominguez berkata, dua kanak-kanak merupakan antara mangsa yang terbunuh dalam persembahan lagak ngeri yang turut melibatkan Pertunjukan Udara Ekstrem tersebut.
Sekurang-kurangnya 35 daripada 47 orang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, katanya.
Dominguez berkata, trak gergasi tersebut sedang melakukan aksi memusnahkan kereta-kereta kecil apabila pemandunya hilang kawalan lalu merempuh tempat duduk penonton.
Kira-kira 3,500 penonton dilaporkan menonton persembahan tersebut ketika kejadian berlaku.
Taman El Rejon di mana persembahan itu diadakan telah ditutup sementara, selain helikopter dan ambulans dikejarkan ke kawasan kejadian.
Pertunjukan Udara Ekstrem tahunan yang masuk kali ketiga penganjurannya itu menarik kira-kira 200,000 pengunjung dan turut melibatkan persembahan aksi ngeri udara, terjunan dan akrobatik motosikal. - AFP
sumber: http://www.utusan.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment