Walaupun terpalit dengan kontroversi memalukan, aktor kelahiran Singapura, Mohamed Hadi Putera Halim atau Adi Putra, 32, mengakui perkara itu tidak menjejaskan perjalanan karier seninya.
“Mengenai kes tersebut, saya masih menunggu konklusi daripada pihak berkuasa. Apabila saya dapat keputusannya, saya akan kongsikan kepada semua. Alhamdulillah, walaupun adanya kes dan kontroversi sebegitu, saya peroleh perkara lain iaitu saya akan membuka cabang bisnes baru yang berteraskan barang-barang keperluan mandi. Perkara ini tidak menjejaskan kehidupan dan kerjaya seni saya,” tutur Adi ketika ditemui di Jelajah Anugerah Skrin 2013 di Cathay Cineleisure, Damansara pada Ahad.
Mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan Adi menggunakan orang atasan untuk menyelesaikan kes tersebut, Adi ada jawapannya tersendiri mengenai perkara itu.
“Saya tidak mahu memberi sebarang komen mengenai perkara itu. Jika ada orang berkata sedemikian, terpulanglah. Saya rasakan mereka yang bercakap sebegitu mengambil berat dan menyayangi saya. Kalau orang tidak bercakap maknanya mereka tidak mengambil berat pasal saya,. Oleh itu saya ingin berterima kasih kepada mereka. Sebagai selebriti, saya tidak boleh menghalang apa yang mereka ingin katakan,” jelas pelakon drama bersiri ‘Teduhan Kasih’ ini.
Pelakon filem ‘KL Gangster 2’ ini juga menjelaskan yang tiada sebab untuknya melarikan diri di atas kontroversi yang terjadi.
“Buat apa saya melarikan diri? Saya masih lagi menghadiri pelbagai acara. Kalau saya mahu lari, pastinya saya tidak akan tampil di khalayak umum. Allah itu maha adil. Biar kebenaran itu keluar nanti. Peminat pun masih menyokong saya,” ulas Adi lagi.
Dalam perkembangan lain, Adi bakal muncul dengan drama bersiri yang berjudul ‘Amarah Batrisya’ bersama dengan Erra Fazira dan Umie Aida. Drama 13 episod itu bakal bersiaran di TV9. Selain itu, Adi juga akan sibuk mempromosikan filem terbaru lakonannya bersama Datuk Rosyam Nor dan Rita Rudaini, ‘Balistik’ yang akan menjengah pawagam pada Januari 2014.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment