Bapa Maut Cuba Selamatkan Dua Anak

[x]

Bapa Maut Cuba Selamatkan Dua Anak

on Wednesday 20 November 2013

Hasrat seorang bapa untuk menyelamatkan dua anaknya yang tergelincir ke Sungai Ah Tong, Panching, hari ini berakhir dengan tragedi apabila dia sendiri terkorban dalam insiden itu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari, Ahmad Ramzi Hassan, 40, dari Taman Tas, Kuantan lemas ketika cuba menyelamatkan dua anak perempuannya, Eva Syakila, 11, dan Eka Syakira, 7.

Adik mangsa, Ahmad Borhan Hassan, 35, yang berada di tempat kejadian berkata mereka ke sungai itu sejak pagi kerana abangnya perlu menyelesaikan kerja di situ manakala kedua-dua anak mangsa yang mengikut mereka bermain di kawasan cetek.

"Saya berada di atas bukit, abang telefon beritahu ada banyak ikan dan minta saya bawa joran ke bawah, tiba-tiba saya terdengar jeritan kedua-dua anak saudara saya yang sudah berada di dalam sungai dan hampir lemas.

"Saya dan abang berenang untuk menyelamatkan mereka, saya berjaya membawa mereka berdua ke darat dan sempat memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada Eka Syakira," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.

Bagaimanapun, sebaik membuat CPR, Ahmad Borhan menyedari abangnya tidak naikke darat dan dia cuba mencari abangnya itu di sungai namun gagal sebelum meminta isterinya menghubungi pasukan penyelamat.

"Pihak bomba dan penyelamat tiba di lokasi tidak lama kemudian dan menjumpai mayat abang tidak jauh dari kawasan itu," katanya.

Ahmad Borhan berkata arwah abangnya sering membawa anak-anaknya ke situ terutama pada waktu cuti sekolah.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata mayat mangsa ditemui pada jam 2.50 petang tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang.

Mayat Ahmad Ramzi dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat, katanya. - Bernama
sumber:Kezoom



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved