Sentuhan Jovian buat Nina

[x]

Sentuhan Jovian buat Nina

on Monday 25 November 2013

Tahniah diucapkan buat pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie, 27, dan pasangannya, Sabrina Ismail Sabri atau Nina, 26, yang bakal disatukan sebagai suami isteri pada 11 Disember ini.

Berita gembira itu diumumkan Jovian sendiri sambil ditemani Nina dalam satu majlis yang diadakan di Alexis, Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pasangan sepadan itu bakal diijabkabulkan di Muzium Diraja Istana Negara lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur pada jam 3 petang, sekali gus menjadi pasangan pengantin pertama diberi kebenaran melangsungkan majlis perkahwinan di situ sebelum ia dibuka kepada umum pada Januari 2014.

Majlis persandingan bagi pihak pengantin perempuan bertemakan Melayu tradisional yang membabitkan tetamu VVIP akan diadakan pada 14 Disember bertempat di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

LAKARAN baju daripada Jovian untuk Nina.

Sementara itu, majlis persandingan kedua berlangsung keesokan harinya di lokasi yang sama dan pasangan ini memilih konsep ‘Javanese’ atau Jawa sebagai tema majlis. Untuk majlis resepsi kedua itu, tetamu yang diundang antaranya selebriti tempatan serta pihak media.

Seminggu selepas itu iaitu pada 21 Disember, Nina yang juga anak kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan satu lagi majlis persandingan di Bera, Pahang.

Selain itu, satu majlis adat minum teh akan diadakan sebagai tradisi sebelah pihak lelaki berikutan nenek Jovian berketurunan Cina masih hidup.

Mengimbau kembali peringkat awal perkenalan pasangan ini, mereka sekadar teman baik. Bagaimanapun segala-galanya bertukar menjadi serius apabila Jovian menyatakan hasrat untuk melamar Nina sebagai permaisuri hidupnya pada Hari Memperingati Kekasih, 14 Februari lalu.

Sesudah bertemu keluarga masing-masing, pasangan ini rancak merencanakan majlis perkahwinan impian mereka sejak lima bulan yang lalu yang mana keseluruhan kos dibiayai mereka sendiri.

Malah, Jovian mengakui, mereka persalinan perkahwinan bakal isteri adalah satu pengalaman cukup mencabar baginya.

“Sampai sekarang masih ada perubahan-perubahan kecil yang dilakukan kerana saya mahukan yang terbaik buat Nina dan saya di majlis perkahwinan kami nanti.

“Setiap rekaan saya untuk Nina mengambil kira personaliti Nina sendiri dan apa yang dia suka,” katanya.

Nina berkata, Jovian menghasilkan lima pasang baju khas untuknya sempena hari bersejarah itu nanti.

“Lima persalinan itu akan dipakai pada majlis khatam al-Quran, gaun persandingan untuk kedua-dua hari di Hotel Shangri-La, satu lagi persalinan untuk upacara memotong kek dan persalinan untuk adat minum teh di sebelah neneknya.

“Manakala malam berinai dan persandingan di Bera, pakaian kami direka khas oleh adik Jovian iaitu Shims Mandagie.

“Kalau ikutkan Jovian tidak menghalang untuk saya memakai rekaan pereka idaman saya untuk majlis perkahwinan kami. Namun, kerana saya sendiri mengenali Jovian sebelum ini sebagai pereka dan pelanggan, malah belum pernah lagi rekaannya mengecewakan saya, jadi kenapa tidak saya berikan kepercayaan buat bakal suami menghasilkan persalinan perkahwinan untuk saya,” katanya.

Nina berkata, segala rekaan Jovian itu akan menjadi satu kenangan si hari tua mereka nanti.

“Saya boleh tunjukkan kepada anak dan cucu betapa hebatnya bapa atau datuk mereka kerana menghasilkan gaun pengantin yang sangat indah ,” katanya yang juga kakak kepada penyanyi Dafi.

Memilih untuk mengikut adat, pasangan ini bertukar sebanyak 11 berbalas 13 dulang hantaran. Jovian akan menghadiahkan seutas gelas emas kepada Nina sebagai mas kahwin. Walau bagaimanapun, Jovian dan Nina memutuskan untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.
sumber: http://www.hmetro.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved