Biarpun terpalit dengan kontroversi kononnya diisytihar muflis, namun perkara tersebut sedikit pun tidak menjejaskan kehidupan penyanyi serta pelakon terkenal, Awie. Malah, pelakon teater ‘Supermokh’ ini memberitahu dia kini dalam perancangan untuk membuka sebuah restoran francais berkonsepkan makanan Indonesia.
“Bukan jadi satu dosa besar pun jika saya betul-betul muflis. Saya tak tahu kenapa orang nak memperbesarkan isu ini, namun perkara ini tidak memberi apa-apa kesan pun pada diri saya. Malah, saya juga dalam perancangan untuk membuka restoran francais dalam masa beberapa bulan ini.
Restoran itu nanti akan berkonsepkan makanan Indonesia kerana saya sendiri suka dengan masakan Padang. Mengenai lokasinya, saya masih belum putuskan sama ada mahu buka di Ipoh atau pun di Kuala Lumpur,” ujar Awie ketika ditemui pada sidang media ‘KL Bike Week 2013’ di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Bercakap mengenai penglibatannya dalam acara tahunan anjuran Red Garage Enterprise itu, Awie memberitahu dia berasa teruja kerana sekali lagi bakal terlibat dengan acara tersebut. Pada masa sama, pelakon filem ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ ini turut terperanjat kerana diberi tugas untuk mengetuai konvoi ‘Sunset Ride Tahun Melawat Malaysia 2014’.
“Saya rasa berbesar hati dan berterima kasih kepada Red Garage kerana sudi menawarkan saya untuk menjadi ketua konvoi pada Sabtu ini. Saya memang minat dengan dunia permotoran sehingga ada yang mengangkat saya sebagai ikon permotoran.
Dunia permotoran juga memang cukup sinonim dengan saya sejak dua dekad lalu sehingga apabila ada saja acara berkaitan permotoran, mereka pasti akan mengajak saya. Apabila ditawarkan, saya tidak menolak kerana selain mahu menyokong projek anak Bumiputera, saya juga yakin acara ini dapat menaikkan sukan permotoran Malaysia di persada antarabangsa.”
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment