Farawahida Langkah Bendul

[x]

Farawahida Langkah Bendul

on Sunday 15 December 2013



PERSIAPAN sudah lengkap, pelamin juga sudah tersergam. Inai raja sehari juga sudah tersedia menunggu masa hendak dicalitkan di hujung jari.

Esok bakal menjadi hari yang paling membahagiakan buat wanita bermata bundar, Farawahida Razali, 28. Zaman bergelar wanita solo sudah boleh dilupakan kerana esok, penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu bakal bergelar isteri orang.

Memilih lelaki yang dikenalinya sejak lapan tahun lalu, Abdul Shukur Mohd. Zain sebagai bakal suami, mereka akan dinikahkan sekitar pukul 10 pagi esok bertempat di Sentosa Villa Resort, Taiping, Perak.

"Bohonglah kalau saya kata langsung tidak merasa debaran. Semasa sibuk memastikan semua persiapan, perasaan itu tidak terasa sangat, tetapi semasa hendak masuk tidur, mulalah bermacam persoalan masuk kepala.

"Tapi mujurlah, urusan persiapan pelamin, fotografi, videografi, dekorasi hantaran serta pengurusan majlis nikah dan sanding saya ini dikendalikan perancang perkahwinan, jadi lega rasanya," ujar Farawahida.

Tidak mahu majlis pernikahan dan perkahwinan mengambil masa yang panjang, Farawahida juga akan melangsungkan majlis persandingan pada hari yang sama. Majlis resepsi perkahwinannya akan berlangsung pukul 8 malam bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak.

BARU-BARU ini kisah perkahwinan Farawahida menjadi berita sensasi kerana mendapat tajaan bernilai RM500,000.

"Seronoknya buat kenduri di kampung halaman apabila ibu bapa sendiri menguruskan hal jemputan. Jumlah tetamu jemputan rasanya sekitar 3,000 orang tetapi kehadiran terpulang kepada kelapangan orang. Buat kenduri di kampung juga tidak boleh had jemputan, harap dapat jumpa semua saudara dan kenalan esok," ujar Farawahida yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu.

Sebelum ini, majlis perkahwinan Farawahida pernah menjadi isu panas apabila menerima tajaan sebanyak RM500,000.

"Kenyataan itu datang daripada perunding perkahwinan. Ikutkan bajet memang saya mampu nak keluarkan duit RM500,000, lagi pun bapa saya sudah cakap tak mahu membazir dengan persiapan yang beria-ria. Tapi jumlah itu merangkumi penajaan oleh pengurus perkahwinan dan saya menerima dengan besar hati," ujar Farawahida yang mengeluarkan duit sendiri untuk kos jamuan jemputan.

Sederhana namun masih terasa kemeriahannya, Farawahida sebenarnya mempunyai dua orang adik yang belum berkahwin, malah kakaknya, Suhana Miza, 30, juga masih bujang.

PASANGAN ini berkenalan sejak lapan tahun lalu.

"Kiranya, saya ini akan langkah bendul. Ada juga saudara-mara yang mahu amalan memberi hadiah kepada kakak apabila si adik terlebih dahulu berkahwin. Setakat ini tiada apa yang diputuskan. Kakak saya tiada masalah dalam soal ini, soal jodoh tidak boleh dipaksa-paksa. Saya tak mahu berjanji apa-apa, daripada pihak saya sendiri, mungkin ada sesuatu untuk kakak nanti," katanya yang mendoakan agar kakaknya pula akan dipercepatkan jodoh.

Bercerita tentang perkahwinan dan permulaan fasa baharu kehidupannya, Farawahida berkata, dia tetap akan meneruskan karier nyanyian walaupun sudah bergelar isteri.

"Bakal suami juga bekerja di Kuala Lumpur, jadi insya-Allah tiada masalah akan timbul," katanya yang turut berkongsi gambar-gambar praperkahwinan yang dirakamkan bersama Shukur.

"Bakal suami seorang yang pemalu bab-bab bergambar, untuk gambar-gambar itu pun, puas saya memujuknya supaya beri kerjasama dan kongsi bersama media. Tapi dia juga sangat memahami kerjaya saya sebagai penyanyi. Saya pilih dia sebab kualiti yang ada pada dirinya. Dia kuat berusaha untuk membaiki taraf hidup," tambah Farawahida.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved