Parodi ada batasan

[x]

Parodi ada batasan

on Monday, 23 December 2013

Nazri (kiri) bersama Nabil, Neelofa, AC Mizal dan Puteri Yasmin pada sidang media Anugerah Meletop Era. - Foto Rosdan WahidAksi tiru gaya artis lain kian popular, jadi konsep Anugerah Meletop Era

Seakan menjadi satu trend pula sejak kebelakangan ini apabila satu demi satu aksi meniru gaya seseorang dengan tujuan untuk berlawak muncul di laman sosial.

Aksi berkenaan, yang lebih popular dengan istilah parodi, turut mendapat sambutan orang ramai terutama apabila pengguna laman sosial menyebarkan rakaman asal kepada ratusan kenalan lain.

Namun, parodi atau parody dalam bahasa Inggeris, ungkapan berasal daripada perkataan Greek, parodia, turut memberikan kesan tersendiri selain daripada tujuan hiburan. Aksi parodi yang dilakukan terhadap penyanyi atau selebriti, contohnya, diakui berperanan sebagai ejen promosi yang baik dan mampu membantu kerjaya seseorang artis.

Senario itu diakui sendiri oleh Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, melalui program di saluran Astro Ria, MeleTOP, yang menampilkan segmen parodi terhadap nyanyian, lakonan mahupun persembahan selebriti serta klip video tertentu yang dilakonkan oleh Jihan dan Azrul.

Katanya, segmen berkenaan sangat popular dan antara yang dinantikan oleh penonton pada setiap minggu.

"Segmen parodi paling digemari. Jika kita lambat siarkan, mesti ada yang tweet atau bertanya mengenai segmen berkenaan. Malah, ia adalah antara tarikan utama bagi program terbabit," katanya yang mengakui secara peribadi menggemari aksi parodi.

Putri Yasmin memberitahu, aksi parodi dilakukan oleh Bobo terhadap Shae, yang menyanyikan lagu popular, Sayang, sangat disenangi oleh penyanyi dari Indonesia itu. Bahkan, Shae menganggapnya sebagai penghargaan dan promosi terbaik membantu mempopularkan lagu terbabit bukan saja di Malaysia tetapi juga di Indonesia.

"Shae memberitahu saya sendiri dia gembira kerana Bobo melakukan aksi parodi itu dan menganggap ia memberikan impak yang besar dalam mempopularkan lagi lagu Sayang.

"Begitu juga dengan Hafiz yang gembira dan mengakui lagunya Awan Nano lebih popular selepas Johan Raja Lawak melakukan aksi meniru aksinya dalam klip video lagu berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, dia berkata, parodi tidak perlu berlebih-lebih dan mesti mempunyai batasan. Aksi yang dilakukan tidak perlu keterlaluan atau bersifat sinis kerana ia hanya menyebabkan pihak yang dijadikan bahan lawak tidak selesa dan boleh menimbulkan pertelagahan.

"Bukan saja di Malaysia, perkara itu harus diamalkan di luar negara juga. Saya rasa tidak salah untuk menghasilkan parodi, asalkan tidak melampau," katanya.

Maka, tidak hairanlah aksi parodi bakal menjadi konsep pada malam Anugerah Meletop Era, yang bakal disiarkan secara langsung pada 8 Februari tahun depan. Anugerah membabitkan 16 kategori itu bertujuan meraikan personaliti dan karya paling hit serta meletup sepanjang 2013, melalui undian yang akan dibuat oleh orang ramai.
Sementara itu, Pengurus Radio ERA fm, Nazri Noran, berkata anugerah kerjasama antara program Meletop dan radio Era itu tiada kena mengena dengan Anugerah Era yang sudah pun menjadi sejarah.

Tiga pengacara yang dipilih bagi mengendalikan malam anugerah itu ialah pengacara rancangan Meletop, Neelofa dan Nabil, serta Datuk AC Mizal.

Mengulas mengenai pemilihan Nabil sebagai pengacara, Puteri Yasmin berkata, pihaknya akan mengadakan sesi perbincangan dengan memberikan panduan secara bersama bagi memastikan tidak timbul isu seperti yang berlaku pada majlis anugerah sebelum ini.

"Perkara ini subjektif. Ada pihak yang suka dan memuji, ada juga yang kurang berkenan. Apapun kita akan berbincang," katanya.

Nabil sebelum ini dikritik di laman sosial, yang kebanyakannya terarah kepada perasaan tidak puas hati mereka terhadap gaya pengacaraan lelaki itu pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-20 baru-baru ini. Lawak ditampilkan Nabil didakwa tidak sensitif dan dia juga dikatakan main sedap mulut saja saat berkata-kata.

Info:
Parodi asalnya digunakan untuk menceritakan mengenai tulisan epik dalam bentuk satira.

Robin Thicke antara bintang Pop AS yang terkenal dengan aksi parodi terhadap penyanyi lain.

Aksi parodi seorang gadis dikenali sebagai Syasya yang bertajuk, Macam Cantik Je, Macam Comel Je, menjadi ikutan ramai selain dijadikan sebuah lagu.
sumber: http://www.bharian.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved