Putrajaya Sudah Sedia Jadi Hos Formula E Tahun Depan

[x]

Putrajaya Sudah Sedia Jadi Hos Formula E Tahun Depan

on Thursday, 19 December 2013

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tertarik dengan kereta Formula E yang dipamerkan pada majlis pelancaran perlumbaan Formula E Putrajaya yang akan diadakan pada 18 Oktober 2014 di Putrajaya pada Rabu. -Foto BERNAMA
Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, dipilih sebagai lokasi pusingan kedua perlumbaan kereta elektrik, Kejohanan FIA Formula E (Formula E), pada 18 Oktober tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bandar raya masa depan itu bangga dikaitkan dengan kejohanan perlumbaan berprestij yang akan mempamerkan jentera yang boleh dianggap kenderaan pilihan pada masa depan.

Beliau berkata dengan pengalaman Malaysia dalam penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1), Putrajaya sudah bersedia untuk berusaha menjadi tuan rumah yang sesuai untuk acara perlumbaan menarik tersebut.

"Ini amat bermakna bagi kami kerana kami bangga dengan hakikat Putrajaya adalah bandar raya masa depan dan itulah juga apa yang melambangkan kereta elektrik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kejohanan Formula E di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Rabu.

Kejuaraan Formula E yang pertama di dunia itu akan menyaksikan 10 pusingan dengan Putrajaya sebagai lokasi pusingan kedua selepas bandaraya Beijing, China.

Bandar raya lain yang menjadi hos perlumbaan dari Sept 2014 hingga Jun 2015 itu ialah, Rio de Janeiro, Punta Del Este, Buenos Aires, Los Angeles, Miami, Monte Carlo, Berlin dan London.

Terdahulu, Najib bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Formula E Malaysia (FEM).

Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat dan naib presiden PPj Bagi Jabatan Perkhidmatan Bandar, Datuk Abdul Ghani Ahmad menurunkan tandatangan bagi pihak Putrajaya manakala FEM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Formula E Holdings, Alejandro dan pengerusi FEM Datuk Seri Johann Young.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib berkata Putrajaya akan menjadi venue yang luar biasa untuk perlumbaan tersebut sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Kami berharap apabila sudah tiba masa perlumbaan, Putrajaya akan lebih dikenali di seluruh dunia. Perlumbaan ini akan berlangsung dengan latar belakang semua bangunan kerajaan.

"Saya tidak sabar untuk melihat perlumbaan ini...Luangkan masa pada 18 Okt tahun depan dan menyokong acara ini serta menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia akan berada di barisan depan dalam soal pembangunan kereta pilihan masa depan," katanya.

"Lebih 100 tahun, kita telah bergantung kepada engin menggunakan bahan pembakaran. Kita telah menggunakan bahan api fosil untuk memacau ekonomi dunia. "Kita telah meraih keuntungan dan meningkatkan kekayaan global tetapi semua ini ada kosnya iaitu pelepasan karbon yang menjejaskan perubahan iklim dan membawa kemusnahan kepada semua bahagian di dunia ini," katanya.

Oleh itu, Najib berkata penggunaan kereta berkuasa elektrik adalah penyelesaian kepada masalah pelepasan karbon dan Malaysia akan menyumbang kepada penurunan pelepasan karbon global.

"Kita akan bukti bahawa dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan kereta elektrik adalah penyelesaian...inilah aspirasi saya," katanya.

Pada majlis itu juga, Najib memperkenalkan kereta Formula E, Spark Renault SRT_01E.-BERNAMA
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved