PADA mata produksi, bintang trilogi 'The Matrix' Keanu Reeves adalah calon terbaik untuk membawa watak Kai, anak yatim piatu yang disisihkan masyarakat kerana statusnya sebagai seorang 'half-blood' (anak hasil perkahwinan campur) dalam filem 'Ronin 47'.
Dia dilihat memiliki stamina, kehadiran dan fizikal untuk membawa watak yang mencabar itu.
Ekoran itu, Reeves ditawarkan watak Kai dua setengah tahun sebelum bermulanya penggambaran. Dia begitu teruja dapat melibatkan diri dalam projek tersebut malah turut menyumbang kepada penulisan skrip bersama penulis Chris Morgan dan Hossein Amini.
"Saya tertarik kepada dunia yang dicipta khas untuk filem ini. Ia sebuah karya yang mengandungi tema universal seperti pembalasan, cinta dan kehormatan dan kisah Kai sesuatu yang ramai sudah biasa kedengaran; kedudukannya sebagai orang luar yang berusaha untuk diterima di dalam masyarakat namun pada masa yang sama cuba mengekalkan identitinya," cerita Reeves.
"Chris dan Hossein memiliki bakat menakjubkan dalam menghidupkan semula versi Ronin yang mengimbangi antara realiti dan fantasi. Pertama kali bertemu dengan pengarah Carl Rinsch, saya tertarik dengan visinya untuk projek ini dan kepetahannya di dalam bahasa visual yang diperlukan untuk menghidupkan kisah ini. Hubungannya dengan filem ini berdasarkan emosi dan dia begitu terbuka untuk berkongsi dan berkolaborasi."
Rinsch juga penuh pujian untuk Reeves yang dilihat lebih daripada seorang pelakon.
"Dia seorang rakan kongsi. Dia seseorang yang saya boleh bertanyakan soalan dan mendapat respon yang amat bermakna dan membantu saya."
Sumber: Harian Metro
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment