Bagai berada di dua kota berlainan budaya dalam masa yang sama. Rasanya, ini adalah kata-kata paling cocok untuk menggambarkan suasana indah di majlis resepsi kedua pasangan pengantin baru, Jovian Mandagie dan Nina Sabrina Ismail Sabri, Ahad lalu.
Berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, majlis santai yang dihadiri ahli keluarga, kenalan rapat dan barisan selebriti ini mendekati konsep 'fusion' apabila kesemua elemen dalam majlis - hiasan dewan dan meja, pelamin, aturcara, rekaan busana, iringan muzik dan istiadat - adalah gabungan budaya perkahwinan orang Melayu dan Jawa.
Tetamu yang hadir memeriahkan majlis juga adalah kombinasi dari kedua-dua belah negara. Antara nama-nama terkenal yang kelihatan adalah Neelofa, Ryzal Jaafar, Arja Lee, Nur Fazura, Rabecca Nur Al Islam, Ziela Jalil, Maria Arshad, Sazzy Falak, Ainul Aishah, penggaya rambut Bambang Soteto, pereka fesyen Fairuz Ramdan dan isteri serta beberapa orang sosialit. Penyanyi Ning Baizura dan suami malah terlibat secara langsung dalam majlis apabila Ning tampil bernyanyi menghiburkan tetamu dalam seleksi lagu-lagu cinta pilihan mempelai manakala suaminya, Omar Sharif adalah salah seorang dari ahli rombongan pengantin lelaki.
Susun atur meja dalam dewan megah tersebut telah dibahagikan dua: satu diisi dengan meja dan kerusi bulat menuruti kebiasaan masyarakat tempatan dalam majlis-majlis kenduri perkahwinan sementara satu bahagian lagi diatur mengikut budaya Indonesia di mana hanya meja tinggi disediakan untuk hadirin menikmati juadah sambil berdiri. Kedua-dua susunan ini dipisahkan oleh karpet merah untuk dilintasi rombongan pengantin kedua-dua belah pihak dan sebuah lantai tari yang berbumbungkan juntaian bunga.
Tumpuan utama dekorasi semestinya terletak pada rekaan pelamin yang menggunakan kaca sebagai latar belakang dengan sayap putih besar melingkari pentas penyatuan cinta Jovianina. Menariknya, pasukan pengurusan majlis hanya punya masa kurang 12 jam untuk mengubah hampir keseluruhan dekorasi dewan, selepas acara makan malam formal penuh protokol yang dihadiri kerabat diraja dan kenamaan pada malam sebelumnya. Ini jelas menggambarkan dedikasi tuan rumah untuk meraikan mempelai dan tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
Diacarakan oleh Adibah Nor dan Dave Hendrick dari Indonesia, majlis dimulakan tepat pukul 3.30 petang dengan perarakan masuk pengantin perempuan sambil diiringi alunan muzik dan tarian traditional Jawa. Bersama Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Datin Muhaini Zainal di sisi, Nina melangkah anggun menuju pelamin dengan mengenakan kebaya tradisional masyarakat Jawa yang menggunakan fabrik Dutchess satin, lace Perancis dan batik Indonesia, lengkap dengan juntaian bunga melur, persis seorang permaisuri dari Majapahit.
Rombongan pengantin lelaki melangkah tiba ke dalam dewan kurang 15 minit selepas itu, diketuai oleh watak garang yang seolahnya diinspirasikan dari tarian jauk. Sebagai raja sehari, Jovian yang turut mengenakan busana tradisional Jawa telah diuji bersama rombongannya untuk melalui tujuh ‘perhentian’ yang diisi dengan acara berbalas pantun antara rombongan, berteka-teki dan juga bayaran ‘tol’, satu tradisi yang sinonim dengan masyarakat Melayu sebelum bersatu bersama suri hatinya diatas pelamin.
Ujian ini diakhiri dengan Jovian menerima dan mengucup sebilah keris dari bapa pengantin perempuan pada perhentian terakhir, simbolik penerimaan tanggungjawab barunya sebagai ketua keluarga. Hadirin kemudiannya diminta berbaris untuk bersalaman dengan kedua mempelai sebelum menerima buah tangan berupa sebotol wangian yang ditempah khas untuk majlis perkahwinan ini.
Pasangan mempelai kemudiannya meminta diri untuk menyalin busana dan hadirin pula diajak untuk menari dengan iringan lagu-lagu rancak, sambil sedutan video dari majlis-majlis yang mengambil tempat sebelum itu ditayangkan. Antaranya, adat bersiram, berinai, katam Al-Quran dan pernikahan. Pasangan Jovianina kemudiannya muncul dengan persalinan ala Inggeris untuk upacara tarian pertama mereka sebagai suami isteri. Di atas lantai tari, pesona romantis melingkari dewan yang memuatkan kira-kira 1,800 orang tetamu itu apabila Jovianina menari bersama dengan love anthem mereka "To Make You Feel My Love" berdendang lembut.
Ditemui usai majlis berakhir, Jovian dan Nina merakam penghargaan dan kegembiraan dengan kehadiran ramai ahli keluarga dan kenalan untuk bersama-sama meraikan penyatuan cinta mereka.
“Apa yang menjadikan majlis ini istimewa adalah penyatuan dua negara yang sarat dengan budaya. Apabila kami memutuskan untuk menggabungkan resepsi kedua belah pihak lelaki dan perempuan, kami memang berhasrat untuk menggunakan konsep 'fusion', sekaligus memberikan peluang untuk ahli keluarga kami saling mengenali dan meluangkan masa bersama,” ujar Nina sambil Jovian mengangguk di sisi.
Bercerita tentang busana yang digayakannya dan isteri, Jovian berkata semua pakaian indah ini telah dihasilkan oleh Jovian Mandagie Couture, dan idea datang dari semua ahli pasukan yang sama-sama bekerja keras untuk memastikan hari bahagianya berjalan lancar.
“Saya banyak mengambil inspirasi dari karakter isteri saya yang lemah lembut tapi tegas. Hasilnya dapat dilihat pada seleksi busana pada majlis pernikahan kami di Istana Negara, Nina tampil bagaikan seorang puteri. Saya menggunakan fabrik songket Brunei untuk majlis itu dan juga pada majlis makan malam protokol. Ramai yang melihat rekaan-rekaan saya sebelum ini begitu 'avant garde' tapi untuk kali ini saya memastikan semua busana bersesuaian dan kena dengan personaliti Nina yang sukakan sentuhan ringkas.
"Sebagai seorang pereka fesyen yang sering menghasilkan busana perkahwinan, tekanannya berlainan apabila perlu mereka busana untuk majlis sendiri; semestinya kami mahu yang terbaik untuk perkahwinan kami. Hasrat saya adalah untuk menghasilkan busana-busana malar segar supaya dalam masa 10 tahun lagi, pakaian-pakaian ini masih nampak indah untuk dikagumi oleh anak cucu kami,” ujar Jovian panjang lebar.
Enggan mendedahkan kos keseluruhan yang dibelanjakan, pasangan ini cuma mahu memanjatkan rasa syukur dengan selesainya majlis tersebut dan apa yang penting bagi mereka adalah semua yang dikasihi telah sama-sama meraikan simpulan cinta yang dirancangkan berbulan lamanya. Perayaan akan diakhiri pada Januari depan apabila pasangan ini ke Bera untuk bertemu dengan masyarakat yang diwakili oleh bapa Nina di sana.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment