WAJAH dan nama ini menjadi terkenal di Malaysia saat dia menjadi hero filem Heart. Irwansyah ketika itu masih bercinta bersama Acha Septriasa. Mereka bertambah terkenal di Malaysia berikutan meledaknya Ada Apa Dengan Cinta malah filem itu turut mengangkat nama Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra.
Seiring masa dan kenaikan wajah-wajah baharu, namanya tenggelam sebentar. Cerita-cerita cinta dan perkahwinannya bersama Zaskia Sungkar menjadi tatapan khalayak terutama peminat wajah 'babyface'nya.
Namun nama Irwansyah dan Zaskia kembali panas pada tahun lalu apabila mereka bersama 11 yang lain ditahan Badan Narkotik Nasional (BNN) sewaktu sedang berpesta di rumah selebriti sensasi, Raffi Ahmad di Lebak Bulus, Jakarta Selatan, Indonesia.
Irwansyah dan isteri kemudian ditahan di lokap untuk beberapa hari sebelum BNN mengumumkan pasangan itu bebas daripada dadah.
Bertemu mata dengan lelaki yang menginjak usia 28 tahun ini di Hotel Alila, Jakarta baru-baru ini mendakwa, dia sudah bersedia untuk berhadapan media di Malaysia.
Pentingkan sahabat
"Tidak ada kesan buat diri saya," ujarnya ketika ditanya tentang impak kes hitam yang melalui sejarah perjalanan hidupnya.
"Saya cuma berada pada satu tempat yang salah dan pelajaran buat diri saya, perlu berhati-hati untuk berteman. Menyedarkan saya untuk tidak terlalu dekat dengan kawan-kawan yang mengambil barang terlarang. Takut kalau terjebak sekali lagi," senyumnya mengingat kembali peristiwa yang menyangkut nama bersih dirinya dan isteri.
Pernah dihimpit dengan kes berkaitan dadah, pada satu sudut positif berkaitan kes tersebut Irwansyah ditawarkan untuk menjadi duta antidadah namun dia menolaknya berkali-kali.
"Sewajarnya saya sentiasa beringat dengan apa juga kemungkinan. Tetapi itu tidak bermakna saya tidak boleh berkawan dengan mereka (kawan-kawan yang mengambil dadah) lagi.
"Oleh itu apabila saya ditawarkan untuk menjadi duta antidadah, saya menolak. Saya merasakan tidak perlu ada jawatan apa-apa sebab perkara itu boleh menjauhkan saya dengan rakan-rakan saya," ujarnya yang menganggap dia tidak rela kehilangan kawan dan tali persahabatan ekoran status.
"Tidak mengapalah tanpa sebarang jawatan asalkan persahabatan kami tidak terganggu. Saya tak rela hilang kawan. Sedangkan selama ini saya senang dengan persahabatan sedia ada," senyumnya yang akan mempertimbangkan tawaran itu pada satu usia yang sesuai.
"Bila umur sudah meningkat tidak ada kawan-kawan yang sudi bersahabat dengan saya," ketawanya memikirkan kemungkinan.
Bertemu isteri atas katil
Kesibukan atas nama pasangan selebriti membuatkan Irwansyah dan isterinya jarang bertemu. Kedua-duanya berstatus pelakon serta penyanyi dan setiap hari jadual waktu mereka terisi dengan kepadatan tuntutan kerjaya masing-masing.
"Kedua-duanya sibuk dan kami hanya bertemu di tempat tidur. Kata doktor kami berdua kepenatan, cuma itu. Tidak ada masalah lain. Jadi kami perlu buat kehidupan kami teratur," ketawanya mengingat sang isteri.
"Jadi saya membuat batasan pada kerjaya kami agar tidak terlalu penat. Kalau dahulu kami boleh kerja sampai lewat malam tetapi kini hanya sampai pukul 12 tengah malam. Hari Ahad sudah diisytihar acara rehat wajib, khusus hari keluarga," tegasnya sebagai ketua keluarga yang dibina sejak 15 Januari 2011.
"Kami berdua sudah menjalani pemeriksaan kesihatan. Ada juga berikhtiar secara tradisional tapi masih belum ada rezeki. Saya pun teringin ada anak sendiri dan hidup bertiga," kata pemilik syarikat produksi R1 Pictures yang yang menerbitkan filem pertama berjudul Wanita Tetap Wanita.
Keluar album penuh
Tiga tahun dia menunda pelancaran album kedua di bawah label rakaman Warner Music. Malah album berisi 10 buah lagu yang sepatutnya menemui khalayak tersebut sudah siap sepenuhnya tahun lalu.
"Penjualan Ring Back Tone (RBT) di Indonesia jatuh merudum. Melly Goeslaw dan Anto Hoed yang merupakan penerbit album saya banyak melabur untuk album itu. Mereka kata perlu ada strategi untuk melancarkan album baharu," ujarnya yang sudah terlupa lirik lagu single baharunya.
Dalam album baharunya, Irwansyah turut menyanyikan lagu Selalu Untuk Selamanya duet bersama isteri tercinta.
"Saya dan isteri suka menyanyikan lagu tersebut di pusat karaoke. Ini seperti lagu wajib kami. Jadi saya usulkan kepada pihak Warner Music dan mereka bersetuju," jelasnya yang senang sekali dapat berduet bersama Zaskia.
Lagu saduran tersebut merupakan antara dua buah single yang dikeluarkan oleh pihak Warner selain lagu Tentang Perasaanku yang telah menemui khalayak sebelum ini.
"Saya amat berharap album ini dapat dikeluarkan pada tahun ini juga," katanya yang pernah popular dengan lagu Pecinta Wanita.
Disentuh mengenai desas-desus pembabitan dirinya dalam arena politik, Irwansyah ketawa sebelum menjawab.
Pelakon dan penyanyi tersebut menyatakan kecenderungannya dalam bidang tersebut tetapi tidak secara serius. Dia mengakui bidang politik memerlukan komitmen yang tinggi sedangkan fokus utamanya masih terhadap dunia hiburan.
"Kedudukan dan populariti seseorang artis itu tak menentu, begitu juga dengan saya. Ada orang kata populariti saya menurun selepas berkahwin tapi tidak bagi saya.
"Sebab tak popular saya masuk bidang politik, itu semua tak betul. Saya meminati bidang politik seiring dengan usia saya. Takkan selamanya jadi pelakon, mesti ada rancangan seterusnya dalam hidup," katanya mengakhiri perbualan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment