Sedih, Jiran Cerita Detik Kemalangan Bayi Maut Di Langgar Ibu

[x]

Sedih, Jiran Cerita Detik Kemalangan Bayi Maut Di Langgar Ibu

on Thursday 10 October 2013

Tragedi sedih bagi keluarga Faizah dan Mohd Fitri Ngah yang berlaku sekitar jam 7.15 pagi semalam terjadi sewaktu si ibu Faziah Yusuf, sedang mengundurkan Proton Exora di depan rumah untuk membuat pusingan sebelum keluar menghantar empat anaknya ke sekolah.

Jiran mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Ton, 35, berkata, kejadian berlaku selepas Muhammad Faqih Mohd Fitri merangkak keluar dari rumah tanpa disedari ahli keluarga lain.

“Saya menjerit beberapa kali meminta Faziah berhenti, tapi dia tak dengar dan terus mengundurkan kereta sehingga menggilis anaknya,” kata jiran yang menyaksikan seorang suri rumah terlanggar bayinya berusia 10 bulan di Kampung Bukit Besar, di sini, pagi semalam.

Ceritanya lagi, bayi malang itu merangkak menuju ke pekarangan rumah dan pada masa sama Faziah mengundurkan Proton Exora lalu terlanggar anak bongsu daripada enam beradik itu.

“Ketika itu saya hendak masuk ke dalam rumah selepas menghantar anak ke pintu pagar. Waktu hendak masuk, saya ternampak Faqih merangkak keluar dari rumah menuju ke belakang kereta dipandu Faziah yang sedang mengundur.

“Selepas Faziah tidak mendengar jeritan, saya berlari dan mengetuk cermin kereta barulah Faziah memberhentikan keretanya. Selepas itu saya cuba keluarkan Muhammad Faqih dari bawah kereta, tapi gagal kerana kedua-dua kakinya tersepit di bawah tayar.

“Saya menyuruh Faziah memandu ke depan dan ketika itu barulah bayi berkenaan dapat dikeluarkan, tetapi keadaannya sangat parah dengan darah berlumuran dan tinggal nyawa-nyawa ikan,” katanya selepas memberi keterangan kepada polis, semalam.

Muhammad Faqih yang parah di dada akibat digilis dikejarkan ke hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, tetapi gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi di wad kecemasan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat bayi berkenaan dihantar ke HSNZ untuk dibedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Fitri Ngah, 40, berkata, anak bongsunya itu baru dua hari pandai bertatih dan kematiannya terlalu sukar diterima dirinya dan ahli keluarga lain.

“Saya langsung tidak menyangka dia meninggalkan kami dalam usia belum cukup setahun,” katanya, semalam.

Tambah Mohd Fitri lagi, ketika kejadian dia baru selesai bermain-main dengan Faqih dan menuju ke meja untuk mengambil minuman di dalam rumah.

“Saya langsung tidak menyedari Faqih merangkak keluar dan hanya sedar apabila terdengar jeritan di luar rumah. Saya bergegas keluar dan berderau darah apabila nampak jiran mengeluarkan Faqih dari bawah kereta.

“Saya lantas mengambil dan mendukung Faqih yang berlumuran darah sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya. Guru sekolah rendah itu berkata, dia pasrah dengan kejadian menimpa anak bongsunya itu.

“Faqih manja dan cepat belajar. Meskipun sedih dengan kehilangannya, saya reda dengan kehendak Allah. Isteri masih trauma dan seolah-olah tidak percaya dengan kejadian ini,” katanya.

Jenazah mangsa dimandikan di HSNZ dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Merbau Patah di sini, selepas Zuhur semalam.
sumber:Kezoom
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved