Pengarah serta pelakon, Afdlin Shauki berkongsi setiap kali dia menonton filem terbaru arahannya, ‘Papadom 2’, dia pasti tidak dapat menahan sebak dan akan mengalirkan air mata. Ini kerana, filem sekuel tersebut cukup menyentuh hatinya kerana jalan cerita yang dipaparkan begitu dekat dengan dirinya sebagai seorang bapa.
“Saya seorang bapa yang kuat bekerja dan banyak masa saya dihabiskan dengan kerja. Ketika buat filem ini, ia mengingatkan saya dengan perkara yang lebih utama dan penting dalam dunia ini iaitu keluarga. Kadang-kadang kita lupa tanggungjawab kita terhadap keluarga dan bila tengok filem ini, saya bertanya kepada diri sendiri adakah saya mahu jadi seperti itu.
Secara peribadi, filem Papadom 2 memang memberi pengajaran bukan saja buat saya malah buat mereka di luar sana yang mempunyai anak,” ujar Afdlin ketika ditemui sejurus selesai majlis tayangan media filem ‘Papadom 2’ di Cathay Cineplex, e@Curve, malam Rabu.
“Tidak dinafikan agak sukar untuk mengarah Papadom 2 kerana ia akan mengingatkan saya kepada keluarga. Sepanjang dua tahun menghasilkan filem ini, saya sudah menonton beratus-ratus kali filem ini dan setiap kali menontonnya, saya akan menangis. Ini kerana filem ini mengimbas kembali hubungan antara bapa dan anak.”
Selain Afdlin, ‘Papadom 2’ turut dibintangi oleh Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Vanidah Imran, Chelsia Ng, Noorkhiriah, Pete Teo, Adham Malekh serta penampilan barisan baru seperti Khir Rahman, Hans Isaac, Riezman Khuzaimi, Dira Abu Zahar, Johan Raja Lawak, Ozlynwaty dan ramai lagi. Ketika ditemui, Afdlin turut memberitahu ‘Papadom 2’ berbeza dengan filem tempatan yang lain dan sarat dengan mesej positif.
“Kebelakangan ini filem tempatan banyak memaparkan kisah seperti hantu, rempit, namun tiada filem yang nak paparkan elemen kekeluargaan. Keunikan filem Papadom 2 ialah ia tentang keluarga dan ia mencetuskan satu filem yang pasti akan meninggalkan kesan dari segi emosi. Saya lebih anggap filem ini berbentuk drama, namun ia turut disulam dengan unsur komedi. Saya buat filem untuk menggerakkan orang ke arah kebaikan dan saya harap bila orang datang menonton filem ini, mereka akan peroleh sesuatu ketika meninggalkan panggung,” ujar Afdlin.
‘Papadom 2’ bakal menemui penonton di pawagam mulai 12 Disember 2013.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment