Pengarah drama Rashid Sibir meluahkan rasa terkilan apabila telefilem Warkah Syurga arahannya, dituduh menciplak sebuah klip filem pendek dari negara Iran.
Rashid sebaliknya berkata, dia hanya mengambil idea daripada klip filem tersebut (tiada judul) yang tidak sampai 10 minit untuk diolah kepada sebuah filem berdurasi 98 minit.
"Perlu difahamkan bahawa menciplak adalah bermaksud meniru sesuatu benda sepenuhnya. Jika benarlah saya menciplak karya Iran yang hanya 10 minit itu, dari mana datangnya jalan cerita 88 minit yang lain?
"Walhal saya cuma mengambil idea filem itu dan mengolah menjadi sebuah telefilem. Itu sahaja.
”Dan rasanya seluruh dunia saling mengambil idea daripada mana-mana karya dan ia diolah kepada sebuah karya baru. Jadi jangan tuduh saya ciplak," katanya yang dihubungimStar Online pada petang Isnin.
Sebuah akhbar pada Ahad lalu menerusi ruangan pojok melaporkan Rashid dianggap seperti muflis idea apabila telefilem arahannya Warkah Syurga siaran Astro Prima pada 11 Mei lalu (pukul 10 malam) merupakan karya yang diciplak dari sebuah filem pendek Iran.
Pengarahan Rashid turut dipertikaikan apabila babak lakonan Sazzy Falak sebagai menantu yang mendera ibu mertuanya (lakonan Fauziah Nawi) dilihat sebagai sebuah adegan lawak.
Tambah Rashid, dia hanya mengambil idea pada babak seorang anak yang kaya membuang ibunya di perhentian bas dan kemudian ada lelaki lain pula yang mengambil wanita itu untuk dijaga.
Berdasarkan cerita itu, Rashid mengembangkan lagi menjadi sebuah telefilem yang menarik.
Bagaimanapun, Rashid menyifatkan, laporan tersebut lebih dilihat sebagai menghentam dirinya secara peribadi dan bukanlah karya tersebut.
"Apabila dibaca balik, artikel itu ditulis bahawa saya sudah lama tidak berkarya dalam industri seni tempatan dan ia menunjukkan artikel itu lebih mahu bercakap tentang saya bukan karya saya.
"Sedangkan saya bekerja secara senyap. Kalau tidak, mana datangnya siri arahan saya, Tanah Kubur yang sudah memasuki 12 musim dan ia masih lagi bersiaran sehingga kini.
"Saya juga tidak faham mengapa penulis itu berkata babak menantu memukul ibu mertuanya tidak sedih langsung sedangkan seluruh Malaysia yang menonton cerita itu memberi respons adegan itu sangat memilukan. Adakah dia (penulis itu) tidak mempunyai perasaan?" soalnya.
sumber: http://www.mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment