Bukan artis mee segera

[x]

Bukan artis mee segera

on Monday, 30 September 2013



NAMA Nana Mahazan dan Aizat Amdan barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi. Bersama- sama menceburi bidang seni menerusi program realiti Akademi Fantasia tetapi dari musim berlainan. Kemudian bintang mereka terus menyinar dalam bidang berlainan pula.

Jika Nana begitu sinonim dengan bidang penyampaian radio, Aizat pula seiring dengan bakat besarnya, maju ke depan dalam arena seni suara dan penciptaan lagu.

Bagaimanapun semenjak kebelakangan ini, nama Nana dan Aizat mula menyepi bahkan mereka jarang muncul di kaca televisyen atau akhbar.

Namun, ia tidak bermakna kedua-duanya terus ‘menghilang’ sebaliknya masing-masing sibuk dengan urusan perniagaan dan kerjaya seni.

Tegas Nana dan Aizat, mereka bukanlah artis mee segera yang hanya popular semusim. Apapun, jom intai perkembangan terbaru mereka.

Fokus pada keluarga

Sejak hamil kali kedua, Nana atau nama sebenarnya, Nurul Hana Che Mahazan berkata dia sekarang semakin sibuk menguruskan rumah tangganya dan ingin berehat bagi memastikan kandungannya sihat.

Jelas Nana, apatah lagi dia kini bergelar suri rumah sepenuh masa dan perlu menjaga puteri sulungnya, Althea Raqeem Brian, 2, yang kian aktif.

“Masa saya banyak dihabiskan di rumah sepanjang masa.

“Jika ada masa lapang, saya dan rakan akan keluar berseronok. Maklumlah, nak jumpa mereka agak susah memandangkan sibuk dengan urusan sendiri,” katanya yang kini hamil 6 bulan.

Akui Nana, tumpuan utamanya kini adalah keluarga dan kerjaya bukan lagi menjadi sebahagian dari hidupnya.

Tambahnya, jadual hariannya penuh diisi dengan melayan karenah si kecil yang semakin bijak serta memerlukan perhatian penuh daripadanya.

“Tetapi, jika staf Sinar FM perlu penyampai radio sementara bagi menggantikan mereka yang bercuti, pihak pengurusan akan hubungi saya.

“Sekali sekali bolehlah, jika lama-lama saya tidak sangup berpisah dengan Althea,” kata Nana.

Biarpun sarat mengandung, Nana berkata berat badannya tidak meningkat secara mendadak seperti kebanyakkan wanita hamil lain.

Apatah lagi, berat badan terdahulu sebelum hamil pernah mencecah hampir 88 kilogram, kini beratnya susut sehingga 51 kg.

Namun tidak dinafikan, Nana kelihatan langsing dan cantik walaupun mengandung.

“Mungkin sebab kandungan kali ini, saya kurang selera makan dan memilih menu tertentu sahaja.

“Saya agak cerewet terhadap makanan, tak tahu kenapa jadi macam ni,” katanya sambil ketawa.

Mahu memberi kejutan buat diri sendiri, Nana menjelaskan bahawa dia dan suami tidak mahu mengetahui jantina anaknya itu.

Katanya, dia mahu menunggu sehingga kelahiran dan tidak kisah mengenai jantina bayinya.

“Kami mahu suprise! Biarlah rahsia, bila dah lahir nanti baru boleh umum.

“Paling penting baby sihat dan lahir secara normal,” katanya yang ingin memiliki anak ramai.

Jual aksesori


Nampaknya, artis dan media sosial sukar dipisahkan. Begitu juga dengan Nana kerana dia gemar memuat naik gambar sehariannya sama ada keluar bersama rakan atau bersama anaknya.
Apatah lagi, dia juga menggunakan laman sosial, Instagram untuk mempromosikan perniagaan aksesori buatannya yang dimulakan sejak setahun lalu.

“Pada mulanya saya cuma 'post' gelang dan rantai yang saya buat. Tetapi ramai pula yang bertanya dari mana saya dapat.

“Sejak dari itu, saya terus serius dalam perniagaan ini. Alhamdulillah, ramai yang memuji buatan aksesori saya,” katanya.

Tambahnya, aktiviti perniagaan semakin mudah apabila pihak Samsung menghadiahkannya telefon pintar, Galaxy Mega untuk kegunaan harian.

“Saya suka upload gambar, tak kira apa jua yang berlaku. Telefon ini lebih selesa kerana skrinnya besar.

“Banyak juga aplikasi yang menarik dan sesuai dengan saya, terutamanya info-info mengenai kehamilan,” ujarnya.

Luas empayar muzik

Bak kata tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Begitulah dialami Aizat.

Penyanyi berusia 24 tahun ini berpeluang mengadakan persembahan di Persidangan Muzik Kansai 2013 di Osaka, Jepun pada 18 September lalu, bersama Amir Jahari dan kumpulan Go Gerilla.

Kunjungannya ke negara matahari terbit itu merupakan satu pencapaian membanggakan kepada penyanyi tersebut.

“Saya rasa sangat teruja dengan tawaran itu. Ia satu pencapaian yang sukar dilupakan seumur hidup.

“Peluang untuk menerokai pasaran di sana sudah terbuka, namun saya ingin melihat bagaimana sambutan terhadap lagu-lagu tempatan,” ujarnya.

Sambung Aizat, beberapa minggu sebelum berangkat ke sana, mereka banyak lakukan persediaan agar tidak terlalu gementar di atas pentas.

Bukan merajuk!


Pada masa sama, Aizat menjelaskan bahawa kehilangannya sejak akhir-akhir ini bukan merajuk atau melarikan diri, sebaliknya mahu tumpu penuh terhadap pembikinan album ketiganya.

Menurutnya, album tersebut bakal memuatkan 12 lagu keseluruhan yang terbahagi kepada enam lagu Melayu dan selebihnya lagu Inggeris.

“Saya tidak merajuk. Tetapi jadual sangat padat dan saya perlu berkurung dalam studio untuk menyiapkan album ini.

“Sebenarnya saya ambil masa agak lama untuk mengumpul bahan iaitu tiga tahun. Tidak seperti album lepas, hanya mengambil masa singkat,” ujar Aizat.

Tambah Aizat, singlenya bersama Yuna iaitu DwiHati turut dimuatkan dalam album tersebut.

Selain itu, dia juga berkolaborasi dengan beberapa artis seperti Zee Avi dan Azlan The Typewriter untuk menghasilkan kelainan.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, dia berkata turut menerbitkan album untuk kumpulan Go Gerilla di bawah syarikat produksinya sendiri, Kasi Gegar Entertainment (KGE).

Selain itu, artis baru di bawah naungannya iaitu Takahara Suwiko yang merupakan pelajar Malaysia yang pernah menuntut di salah satu universiti Osaka.

“Saya turut merancang untuk adakan showcase bagi artis KGE dalam satu pentas yang sama, tahun depan.

“Malah Go Gerilla juga bakal muncul dengan album sulung nanti. Kebanyakkan lagu mereka digubah sendiri oleh saya dan dibantu rakan yang lain,” katanya.

Untuk pengetahuan, Aizat juga terlibat dalam penulisan lagu seperti Tanah Air dan Ost Istanbul Aku Datang.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved