Hans Isaac Belanja RM750,000 Untuk Promosi

[x]

Hans Isaac Belanja RM750,000 Untuk Promosi

on Tuesday, 30 July 2013



Pelakon dan pengarah kacak, Hans Isaac mendedahkan yang dia dan pihak produksi merombak skrip ‘Lemak Kampung Santan’ hampir 16 kali dia bagi memantapkan jalan cerita filem terbaru terbitan syarikatnya itu.

“Bagi kami, permulaan dan nadi sebuah cerita adalah skrip. Apabila penonton datang ke panggung, apa yang mereka ingin tengok adalah kandungan dan penceritaan. Pada permulaannya, kami ingin memasukkan 2 atau 3 cerita dalam satu filem. Namun setelah berbincang dan melakukan rombakan hampir 16 kali terhadap skrip, maka terhasillah ‘Lemak Kampung Santan’ ini,” jelas pemilik syarikat Tall Order Productions ini.

“Kami mahu berkongsi kualiti filem ini dengan semua penggemar filem Melayu. Hampir RM750,000 dilaburkan untuk tujuan promosi filem ini kerana kami melihat agak kurang penonton yang hadir ke pawagam untuk menonton filem Melayu ketika ini. Jadi, Kami akan mempromosikan filem ini dengan lebih giat lagi. Kami adakan pertandingan di mana pemenangnya dapat bercuti bersama para pelakon filem ‘Lemak Kampung Santan’,” ujar Hans ketika ditemui di prebiu ‘Lemak Kampung Santan’ baru-baru ini.

“Selain itu, kami juga mengiklankan filem ini di akhbar-akhbar dan stesen televisyen dengan lebih kerap, malahan kami akan turun padang lebih kurang 10 lokasi berbeza untuk mempromosikan filem ini, bermula pada minggu pertama sambutan Syawal,” cerita Hans lagi yang bergandingan dengan aktres jelita, Neelofa dalam filem ini.

Hans yang sedang digosipkan bercinta dengan Neelofa berharap penonton dan para penggemar filem menilai kualiti yang ditonjolkan dalam filem ini dan bukannya gosip cinta antara dirinya dan Neelofa.



“Ketika penggambaran filem ‘Lemak Kampung Santan’ ini dijalankan, saya baru sahaja mengenali Neelofa. Jadi saya harap agar penonton dan penggemar filem lebih tertarik dengan filem ini, bukannya berkaitan dengan hal peribadi seperti gosip cinta saya dan Neelofa. Saya mahu orang akan bercerita mengenai filem ini mempunyai kualiti, bukan pasal kami berdua,” ulas Hans lagi.

Sementara itu, ketika menemui Neelofa usai tayangan filem ini di TGV One Utama, dia menceritakan yang tidak sukar baginya untuk menghayati watak Tiqa yang digalasnya dalam filem ‘Lemak Kampung Santan’ ini.

“Tiqa adalah seorang gadis kampung. Saya juga dilahirkan dan dibesarkan di kampung. Jadi bagi saya tiada masalah untuk saya membawakan watak ini. Lagipun, pengalaman saya tinggal di kampung membantu saya untuk menghayati karakter Tiqa. Apa yang selalu ditegur oleh Hans selaku pengarah adalah cara percakapan saya yang kadang-kadang laju,” jelas Neelofa dalam nada berseloroh.

‘Lemak Kampung Santan’ mengisahkan mengenai seorang pemuda yang berasal dari bandar, Ridzuan yang bekerja sebagai seorang pereka binaan di sebuah syarikat terkemuka di Ibu Kota mula jatuh hati dengan Tiqa, seorang gadis kampung yang menjual nasi lemak di salah sebuah kampung yang bernama Kampung Santan.

‘Lemak Kampung Santan’ bakal ditayangkan bermula hari pertama sambutan Syawal iaitu 8 Ogos 2013 di pawagam seluruh negara.
sumber : http://www.gua.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved