Penyampai radio Hot FM, Chad atau nama sebenarnya, Nur Shazrena Abd Rahim pernah dikatakan bercinta dengan gitaris kumpulan Klangit, Haris. Namun begitu, mereka berdua hanya diam dan tidak memberikan sebarang respon dan komen mengenai khabar tersebut.
Baru-baru ini, GUA mendapat tahu Chad telah pun melangsungkan pertunangan bersama Haris. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, GUA telah menghubungi sendiri mantan pengacara rancangan Muzik-Muzik di TV3 ini.
“Alhamdulillah, saya sebenarnya telah melangsungkan pertunangan bersama Haris pada tanggal 18 Ogos yang lalu. Pertunangan berlangsung dekat kediaman saya di Telok Mas, Melaka. Insya Allah, kami merancang untuk bertunang selama setahun sebelum kami berdua bersedia untuk menempuhi gerbang perkahwinan,” jelas Chad memulakan perbualan.
Ketika ditanya mengenai saat-saat perkenalannya bersama Haris, Chad menceritakan yang dia mengenali Haris pada tahun lalu.
“Kami berkenalan semenjak tahun lepas, dalam bulan September. Selepas tiga bulan berkenalan, kami serius menjalinkan hubungan cinta. Dua bulan yang lalu, baru kami mengambil keputusan untuk melangsungkan pertunangan,” ujar penyampai segmen Hot FM Zon di Hot FM ini.
Bercakap mengenai ciri-ciri Haris yang membuatkan Chad terpaut, Chad menjelaskan yang dia menggemari sikap Haris yang merupakan seorang jejaka yang agak pemalu.
“Haris seorang yang pemalu. Dia seorang yang tidak banyak bercakap. Saya terpikat dengan dirinya kerana dia juga seorang yang mempunyai sifat sopan santun. Bukan senang nak tengok seorang lelaki ada sikap pemalu dan sopan santun,” cerita Chad mengakhiri perbualan.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment