Pegang Amanat Arwah Bapa

[x]

Pegang Amanat Arwah Bapa

on Saturday, 31 August 2013

SHIHA finalis Mentor 5 yang masih belum putus asa dalam mengejar impiannya untuk menjadi penyanyi berjaya di pesada seni suara tanah air.

PERJALANAN seni Shiha sebagai penyanyi bukan baru. Dia mula menonjolkan bakatnya dalam bidang nyanyian dengan menyertai pertandingan seperti Akademi Fantasia 3 (AF3) dan Mentor beberapa tahun lalu.

Sayangnya, dalam kesemua pertandingan itu nasib belum menyebelahinya. Dia antaranya cuma sekadar menjadi peserta dalam Konsert Prelude AF3 dan naib juara dalam Mentor musim kelima hasil didikan biduanita Datuk Sharifah Aini.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencuba nasib sebagai penyanyi. Malah, selepas menyertai Mentor 5, semangatnya untuk menjadi penyanyi sepenuh masa semakin berkobar-kobar.

Sebab itu, tidak hairanlah Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir sanggup meninggalkan bidang pelajaran semata-mata untuk mengejar cita-citanya itu.

Menurut Shiha dia bukan sahaja bercita-cita mahu menjadi penyanyi yang berjaya, tetapi ia turut didorong oleh arwah bapanya yang begitu teringin mahu melihatnya berjaya dalam bidang tersebut.

"Pembabitan saya dalam bidang nyanyian banyak didorong oleh arwah bapa. Dialah yang banyak mengajar saya dalam bidang nyanyian. Arwah banyak mengajar saya teknik menyanyi terutama dalam lagu-lagu asli.

"Saya masuk pertandingan seperti AF3 juga atas dorongan arwah bapa. Sayangnya, arwah tidak sempat melihat kejayaan saya sebagai penyanyi. Dia meninggal dunia pada 2008 kerana serangan sakit jantung.

"Ketika dia meninggal dunia di Pulau Pinang, saya berada di Kuala Lumpur kerana bekerja menjadi penyanyi sepenuh masa," katanya semasa di temui pada majlis rumah terbuka rancangan Bersamamu terbitan TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jelas Shiha, disebabkan kesungguhannya mahu menjadi penyanyi, dia sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang tidak lama dulu.

Kata penyanyi bersuara lantang ini, dia tidak menyesal dengan keputusan itu, sebaliknya yakin nasib akan menyebelahi asalkan terus komited dalam bidang yang penuh dengan cabaran tersebut.

"Sewaktu mula menyertai AF3 usia saya baru sahaja 18 tahun dan baru habis belajar. Saya kemudiannya dapat tawaran belajar di USM dalam bidang sukan tetapi menolak kerana mahu menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian.

"Walaupun tidak berjaya ke final AF3 tetapi saya tidak putus asa dan menyertai Mentor 5 dengan mendapat tempat kedua yang mana itu adalah pencapaian terbaik saya setakat ini," ujarnya.
sumber : http://www.utusan.com.my/


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved