
Pelantun lagu ‘Tak Tahu’, Mohd Aizam Mat Saman atau Adam, 30 tidak menganggap perkahwinannya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza Halim, 32 sebagai sesuatu yang tergesa-gesa.
“Saya rasa perkahwinan kami tidak tergesa-gesa. Mungkin orang anggap begitu kerana berita mengenai perkahwinan kami didedahkan pada hari Selasa (24 September) dan seterusnya kami terus bernikah dua hari berikutnya (26 September). Kami mengenali hati budi masing-masing secara serius selama dua bulan, iaitu pada awal bulan Ramadan yang lalu,” jelas Adam memulakan perbualan bersama GUA.
“Pada saya, jodoh saya sudah sampai dan wanita itu adalah Fiza. Syukur Alhamdulillah, majlis kami berjalan lancar. Kami ingin berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kami mengadakan majlis ini,” jelas Adam ketika ditemui usai majlis pernikahannya bersama Fiza di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam pada Khamis.
“Mulanya kami hanya bertemu untuk berkongsi cerita kehidupan masing-masing selepas solat Terawikh di sebuah kedai mamak. Selepas pertemuan kali pertama bersama Fiza, apabila saya pulang ke rumah, hati saya mula rindu padanya. Rasa suka itu timbul dan hati saya terbuka untuknya,” tutur Adam lagi.
Ketika ditanya apakah yang membuatkan Adam terpikat dengan Fiza, Adam menjelaskan yang dia tertarik dengan sikap keibuan yang ada pada diri Fiza.
“Saya suka cara Fiza menjaga anak-anaknya. Fiza ada ciri-ciri seorang ibu yang baik. Tapi apa yang penting, hati saya terbuka untuknya. Saya juga sudah bersedia untuk menjadi bapa kepada anak-anaknya,” ujar Adam.
Adam juga mendedahkan yang pada mulanya, ibunya terperanjat dengan keputusannya yang ingin menikahi Fiza.
“Apabila saya memberitahu ibu yang saya ingin menikahi Fiza, dia terkejut. Bukannya mengenai status Fiza sebagai seorang ibu tunggal, tapi ibu saya meragui adakah saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak Fiza. Namun begitu, pada sambutan Syawal lalu, Fiza datang ke kampung halaman saya di Sabah untuk menemui keluarga terdekat saya. Keluarga saya suka dengan perwatakan Fiza,” ujar Adam lagi.
“Saya akan mengadakan kenduri di pihak saya di Inanam Laut, Kota Kinabalu dalam jangka masa dua minggu lagi. Kami akan melakukan majlis perkahwinan seperti biasa, namun kami tidak akan bersanding di majlis tersebut. Mengenai bulan madu, saya belum pasti lagi kerana belum ada perancangan mengenai perkara itu. Soal cahaya mata pula, saya serahkan semuanya di tangan Allah,” tutur Adam mengakhiri perbualan.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment