Keadaan reban sepanjang 60 meter itu yang ranap dan dianggarkan lebih 1, 000 ayam mati dalam runtuhan itu.
Dalam kejadian di Kampung Tanjung Jawa itu, Mohd Isam Ramli, 40 dan pembantunya, Nazri Ismail, 28, yang ketika itu sedang leka memandikan ayam dan membasuh reban dikejutkan dengan bunyi gegaran sebelum kandang berusia 13 tahun itu runtuh.
Mohd Isam berkata, dia dan Nazri melalui detik cemas apabila terperangkap dalam reban itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang yang meranapkan hampir keseluruhan reban itu.
“Kami terpaksa merangkak perlahan-lahan untuk keluar dari reban kerana bimbang ia akan runtuh bila-bila masa saja kerana kami dapati bahagian belakang reban sudah runtuh,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Isam, dia dan rakannya itu terpaksa berhimpit-himpit dengan ayamnya yang mati bergelimpangan dan hanya berjaya keluar kira-kira lima minit selepas itu.
Mohd Isam menunjukkan sebahagian ayamnya yang mati dalam kejadian itu.
“Kejadian ini memang mengejutkan kami, apatah lagi berdepan dengan dugaan seperti ini, apa pun saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Mohd Isam berkata, dia mengalami kerugian lebih RM300,000 apabila reban sepanjang 60 meter itu musnah dan lebih 1,000 ayam ternakannya mati.
Malah, katanya, kejadian itu juga menyebabkan berguni-guni makanan ayam turut musnah.
“Saya menternak kira-kira 12,000 ayam dan saya masih belum dapat mengenal pasti berapakah yang mati, tetapi dianggarkan lebih 1,000 ayam terperangkap dan mati terhempap akibat runtuhan ini,” katanya.
Katanya, dia mengambil bekalan benih ayam itu dari Linggi, Negeri Sembilan dan akan menjualnya selepas 38 hari kepada sebuah syarikat pemborong dari Bukit Tinggi, Klang untuk jual di pasar dan diproses untuk dijadikan nugget.
“Biasanya ayam standard ini akan dijual RM4 sekilogram, manakala ayam sakit pula pada harga RM1.50 sekilogram, tetapi dengan keadaan ayam yang bergelimpangan mati sudah tentu saya mengalami kerugian yang besar.
“Saya sedih kerana semua ayam-ayam ini sepatutnya dapat dijual kepada pemborong minggu depan,” katanya.
sumber : http://wwwsaja-saja.blogspot.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment