Meskipun sudah berjaya mencipta nama di luar negara apabila berpeluang berduet bersama kumpulan punk rock daripada Kanada iaitu Simple Plan menerusi lagu Jetlag, namun band Indonesia, Kotak akui mereka belum cukup popular di Malaysia.
Buktinya, vokalis kumpulan Kotak iaitu Tantri memberitahu ketika mereka mengadakan persembahan di showcase Achilles Formula Dirft Malaysia 2013 di Speed City, baru-baru ini tidak ramai yang tahu mengenai lagunya dan sangat berbeza sewaktu mengadakan konsert di Indonesia yang mana semua penonton turut bernyanyi bersama.
"Sebenarnya, peminat Kotak di Malaysia beragam. Ada yang sudah mengikuti perkembangan muzik kami dari awal dan ada juga yang baru mengenali kami. Bagi saya, Kotak belum cukup popular di Malaysia.
"Malah kami anggap kami adalah band baru di Malaysia. Contohnya, pada Ahad lalu ketika kami mengadakan persembahan di sini, tiada peminat yang benar-benar menghafal lagu-lagu kami.
"Kami pun tidak berani hendak menyuruh mereka sambung apa yang kami nyanyi kerana takut mereka tidak menghafalnya.
"Berbeza dengan peminat di Jakarta, mereka di sana sudah menghafal lirik-lirik lagu kami dan mereka pasti akan menyanyi bersama setiap kali kami beraksi.
Namun, bila membuat persembahan di Malaysia, kami perlu menyanyikan semua lagu sendiri.
"Tapi tak dinafikan, kami dapat tahu ada juga peminat kami yang tertunggu-tunggu persembahan kami di sana, cuma tidak ramai.," katanya selepas pelancaran album terbaru Kotak, Terbaik di Hard Rock Café, semalam.
Kotak yang kini berada di Malaysia sedang mempromosikan album studio kelima mereka yang merupakan album kompilasi yang memuatkan 17 buah lagu.
Lagu-lagunya merangkumi kesemua lagu-lagu hit daripada empat album Kotak terdahulu, tiga buah lagu baru, dan dua trek bonus.
Tiga lagu baru tersebut adalah Hijaukan Bumi, I Love You, Kecuali Kamu dan dua trek bonus Jetlag, nyanyian bersama kumpulan Simple Plan dan Aku Yang Tersakiti nyanyian bersama Judika.
Mengulas lanjut mengenai album mereka itu, Tantri berkata Terbaik merupakan album kompilasi mereka yang mengumpulkan lagu-lagu terbaik daripada 4 album mereka sebelum ini.
"Jadi secara tidak langsung memberi peluang kepada peminat mereka untuk mengimbau dari album pertama mereka hingga terkini.
"Album kelima ini merupakan album kompilasi Kotak yang terbaik buat peminat.
"Bagi kami, album kompilasi punya keistimewaan tersendiri kerana dengan memiliki album ini peminat berpeluang untuk mengenali lagu-lagu kami daripada album pertama. Dengan cara ini mungkin peminat baru kami akan bertambah," jelasnya lagi.
Album Terbaik dari Kotak, telah berada di pasaran pada harga RM27.90. Album daripada Kotak ini merupakan edaran Warnet Music (M) Sdn Bhd.
Kotak ditubuhkan pada tahun 2004 setelah mereka menjuarai pertandingan nyanyian Dream Band di Indonesia.
sumber : http://www.murai.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment