Umum mengetahui mengenai keakraban yang terjalin di antara aktres jelita, Nora Danish dengan anak seorang Menteri, Nadeem Datuk Seri Ahmad Nazri. Walaupun sebelum ini Nora menafikan mempunyai hubungan cinta dengan jejaka terbabit, namun foto-foto percutian di Bali yang dimuat naik oleh Nora menerusi laman Instagramnya baru-baru punya cerita sebaliknya.
Ketika menghadiri sesi tayangan media filem 'Lagenda Budak Hostel', di Cineleisure e@Curve, pada Selasa, GUA berpeluang bertemu dengan Nora yang merupakan teraju utama filem tersebut dan kesempatan ini digunakan GUA untuk bertanya sendiri kepada Nora mengenai hubungannya dengan Nadeem.
"Sebenarnya percutian di Bali ketika Syawal lalu merupakan percutian Nora bersama keluarga. Kebetulan, ramai kawan-kawan Nora yang lain turut pergi ke sana dan di situ, baru Nora terjumpa dengan Nadeem. Mengenai gambar kami berdua yang diambil sewaktu matahari terbenam itu, idea tersebut datang sebab Nora memang seorang yang suka mengambil gambar terutamanya pemandangan yang cantik," ujar Nora mengulas mengenai gambar romantik antaranya dengan Nadeem.
"Nora tak salahkan peminat jika mereka mengatakan kami bercinta selepas melihat gambar tersebut. Namun, Nora akan cakap yang hubungan kami hanya sebagai kawan. Nora tak suka cakap yang Nora bercinta dengan sesiapa sebab takut nanti tak jadi.
Jika siapa saja bertanya, Nora selesa untuk bercakap kami kawan atau teman rapat saja. Jika dah nak ke jinjang pelamin, baru Nora akan berkongsi dengan siapa Nora bercinta. Buat masa ini, kami masih mengenali hati budi masing-masing dan tiada perbincangan ke arah yang lebih serius mengenai hubungan kami. Perasaan Nora terhadap Nadeem hanya sebagai kawan saja," ujar Nora mengakui selesa berkawan dengan Nadeem.
"Tidak dinafikan kami kerap berjumpa kerana rumah kami dekat. Lagipun, dia seorang bapa tunggal dan Nora juga ibu tunggal, jadi anak-anak kami selalu main bersama. Kami dah kenal selama tujuh tahun sejak dari Nora bujang, berkahwin sehinggalah solo balik. Jadi, Nora selesa berkongsi masalah dengan dia. Lagipun kami ada menjalankan perniagaan bersama, jadi kami memang kerap bersama.
Nadeem seorang lelaki yang baik dan sangat memahami. Nora tertarik dengan sikapnya yang suka bersedekah dan selalu buat aktiviti kebajikan. Dia juga selalu memberi semangat dan kata-kata positif kepada Nora," ujar Nora lagi yang mengakui belum bersedia untuk menamatkan zaman janda.
"Nora belum terfikir untuk berkahwin lagi. Nora sentiasa berdoa agar Allah bukakan pintu hati Nora untuk berani menerima lelaki bergelar suami dalam hidup Nora. Ini kerana perkara yang lepas banyak mengajar Nora untuk lebih berhati-hati selain Nora juga perlu lebih bersedia sepenuhnya untuk menjadi seorang isteri yang baik."
sumber : http://wwwsaja-saja.blogspot.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment