Penyanyi Indonesia yang cukup terkenal dengan lagu ‘Sayang’, Shae atau nama sebenarnya, Sheryl Gething, 19, tidak menolak jika dia bertemu jodoh dengan jejaka Malaysia. Jelas Shae, dia tidak memilih orang yang bakal menjadi raja di hatinya.
“Saya tidak menolak andai jodoh saya orang Malaysia atau siapa-siapa sekalipun. Jodoh itu ditangan Tuhan, jadi saya harus buka mata dan buka hati. Sejujurnya, saya tidak memilih kawan dan tidak memilih orang untuk jadi kekasih hati. Saya percaya semua sudah tertulis. Jadi, apabila jodoh sudah datang, pastinya saya akan terima sahaja. Cinta itu jangan dicari, bila dicari ianya takkkan datang, biar cinta datang sendiri,” seloroh Shae ketika diusik dengan soalan mengenai jodoh.
Untuk pengetahuan semua, tahun ini sudah lapan kali Shae berkunjung ke Kuala Lumpur untuk sesi promosi lagu dan albumnya. Angka yang boleh dikira sebagai kerap untuk seorang pendatang baru sepertinya.
“Saya rasa bersyukur sekali. Sesungguhnya saya tidak menyangka akan jadi artis Indonesia yang kerap datang ke sini dan menerima sambutan menggalakkan. Saya akan mencuba dengan baik lagi kerana saya telah diberi peluang hebat seperti ini. Sejujurnya, saya rasa apa saya berikan untuk peminat saya masih lagi kurang. Jadi saya akan mencari cara supaya saya dapat memberikan sesuatu yang lebih baik untuk membuktikan kepada semua dan untuk membalas semula kepercayaan diberikan oleh peminat, keluarga, teman-teman, syarikat rakaman dan semua yang yakin dengan kebolehan saya,” ujar gadis manis ini ketika ditemui di Fiesta Muzik & Bola ERAvaganza dekat Stadium Hang Jebat, Melaka pada tempoh hari.
Shae juga menjelaskan, dia tidak pernah meletakkan dirinya sebagai seorang pendatang baru yang telah sukses dalam arena muzik yang diceburinya ini.
“Saya tak pernah fikir saya telah sukses dalam industri hiburan ini. Bagi saya, setiap hari merupakan hari yang baru. Jadi saya hanya akan rasa diri saya sukses untuk hari tersebut apabila saya berasa gembira dapat menyelesaikan tugasan dan kerja saya. Kalau diandaikan sukses sebagai seorang pendatang baru secara keseluruhan, perkara itu masih jauh untuk saya capai dan saya sedang berusaha memberikan segalanya kepada semua,” tutur Shae mengakhiri perbualan.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment