Zed Zaidi Digesa Lebih Gentleman

[x]

Zed Zaidi Digesa Lebih Gentleman

on Sunday, 7 July 2013

                                                   
Pelakon veteran Abu Bakar Omar akan tetap meneruskan hajat untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) esok walaupun ia bakal diboikot oleh Presidennya, Zed Zaidi dan segelintir ahli itu.
Melalui Portal Mstar Online, Abu Bakar, 64, berkata, pertemuan yang akan diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu adalah untuk menerangkan kepada semua ahli kenapa dia bersama empat artis veteran yang lain berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Seniman ke 15 pada 1 Jun lalu.

“Saya mendapat maklum balas ada ahli yang akan hadir. Pertemuan ini akan tetap dilaksanakan pada pukul 2 petang, Ahad ini walaupun Zed Zaidi melarang ahli-ahli Seniman berbuat demikian. Sila jadi ‘gentlemen’ sikit. Ini mesyuarat untuk menyelesaikan masalah. Kenapa perlu boikot.”

Pada 31 Mei lalu, Abu Bakar bersama rakan artis iaitu Sahlan Sudiran, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang berjaya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat sini bagi menghalang AGM persatuan itu.

Hakim, Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat alasan untuk membenarkan injunksi berkenaan berdasarkan penyertaan tuntutan lima artis terbabit.

Terdahulu dalam laporan mStar Online pada Jumaat, Zed berkata pihaknya akan memboikot pertemuan berkenaan sebagai langkah untuk mengelakkan ahli –ahli persatuan itu terpengaruh dengan agenda tidak baik kumpulan veteran tersebut.

Dalam pada itu Abu Bakar berkata, walau apa pun yang akan terjadi, pertemuan itu tetap diteruskan dan mencabar Zed Zaidi untuk hadir bersama ahli-ahlinya yang lain kerana dengan cara itu sahajalah kemelut dalam persatuan berkenaan dapat di selesaikan.
                                     
“Ahad ini ahli-ahli yang terdiri daripada artis baru dan lama akan hadir. Jadi, Presiden persatuan pun kenalah hadir juga. Saya dan rakan-rakan akan terangkan kenapa perintah injunksi itu dibuat.”

Ketika dimaklumkan kepada Abu Bakar bahawa Zed telah menulis surat agar Finas tidak membenarkan pertemuan itu kerana ia lebih kepada agenda peribadi katanya, perkara itu bukanlah satu masalah.

“Kalau tak boleh buat di Finas, kami akan buat (pertemuan) itu di tempat letak kereta. Bukannya susah. Kenapa pula pertemuan ini tak boleh dibuat di Finas? Sebelum ini ada artis buat kerja kahwin di Finas boleh pula?”
                                            
                                                                       ‘Cara Dia Tak Betul’ – Zed Zaidi
Semantara itu Zed Zaidi yang menghubungi mStar Online pada Sabtu berkata, tindakan Abu Bakar itu telah melanggar peraturan Seniman.

Katanya jika Abu Bakar berjaya mendapat perintah mahkamah bagi menghalang AGM, kenapa pula dia mahu mengadakan perjumpaan kerana pertemuan itu juga tidak sah.

“AGM adalah tempat ahli untuk bertemu bagi membincangkan masalah sedangkan dia menghalangnya. Tetapi peliknya kenapa dia pula nak adakan pertemuan? Kenakah caranya itu?”
Tambahnya, Abu Bakar bukanlah Ahli Jawatan Kuasa persatuan itu dan dia tidak layak untuk memanggil ahli hadir ke mana-mana perjumpaan.

Cara pelakon itu katanya benar-benar tidak mengikut undang-undang yang betul dan beliau amat kesal dengan sikap berkenaan.
“Kalau dia hendak buat perjumpaan, pergilah tarik semula saman mahkamah yang dia buat kepada Seniman. Kenapa dia tidak berbuat demikian jika bukan ada kepentingan peribadi.”

Jelas Zed lagi pihaknya sedang memantau perbuatan Abu Bakar itu dan berhasrat mengambil tindakan kepadanya.
sumber : http://www.budiey.com/

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved