Hujung April lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian penyanyi pop yeh yeh 60an, Datin Azizah Mohamad, akibat penyakit kanser pangkal rahim dan Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 66 tahun.
Pemergian arwah Datin Azizah ini sekaligus membuatkan pelakon dan pengarah terkenal iaitu Khir Rahman menyambut Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri tanpa ibu tersayang.
Sewaktu diminta untuk mengulas mengenai pengalamannya pertama kali menyambut Ramadhan tanpa arwah ibu, Khir hanya mampu menahan sebak dan menyatakan bahawa dia lebih sedih apabila melihat ayahnya, Dato A. Rahman Hassan yang kini keseorangan, tanpa peneman setia seperti sebelumnya.
Kami lalui Ramadhan tanpa mak. Sebelum ini setiap kali pertama Ramadhan kami akan bersahur dan berbuka bersama sebagai satu keluarga, jadi bila mak dah tak ada, terasa juga kehilangan sebab kita tahu kerusi mana yang dia selalu duduk.
Tapi saya lalui perkara ini seadanya dan saya lebih sedih apabila melihat abah.
Maklumlah selama ini 44 tahun mereka hidup bersama. Sepanjang hayat mak, ke mana sahaja abah pergi dia mesti akan bawa mak sekali. Mungkin sebab itulah buat abah rasa lebih kehilangan.
Dato A. Rahman Hassan & arwah Datin Azizah
Berkongsi lebih lanjut mengenai ayah tersayang, pelakon filem Rock Oo ini turut menyatakan bahawa sejak kehilangan arwah ibu, dia dan adik-beradiknya lebih banyak meluangkan masa bersama ayah berbanding sebelum ini.
Abah dilatih dengan ketenangan dan dia ok je, cuma kami adik-beradik akan selalu buat inisiatif untuk selalu mengisi masa terluang dengan abah. Kalau dulu kami jarang balik rumah jumpa abah, sekarang ini tidak. Setiap kali ada masa terluang kami akan selalu teman abah.
Dalam pada itu, pelakon ini turut mengakui dia sebak apabila teringat kenangan bersama ibunya dan menyatakan bahawa arwah ibunya adalah satu-satunya tempat rujukan untuk dia melakukan sesuatu perkara, sama ada dari segi kerjaya mahupun peribadi.
Bila arwah mak dah tak ada, dua perkara kita tak akan dapat cari lagi selepas ini, pertama mak adalah tempat rujukan. Sebelum ini apa sahaja perkara yang saya nak buat, saya akan tanya mak dulu dan pernah juga banyak kali saya melawan cakap dia. Setiap kali melawan, saya akan rasa akibatnya sendiri.
Yang kedua, saya tak akan dapat rasa lagi pelukan mak. Saya rasa sentuhan dia adalah bagaikan syurga.
sumber : http://www.ohbulan.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment