Priyanka bernasib baik

[x]

Priyanka bernasib baik

on Thursday, 22 August 2013



Selepas lebih 10 tahun bergelar pelakon, Priyanka Chopra mula memahami rentak industri filem Bollywood dan puas hati dengan kejayaan yang dicapai atas usahanya sendiri.

“Ketika saya menceburi dunia lakonan pada usia 18 tahun, saya tidak kenal sesiapa. Ketika saya hanya mencuba nasib, kalau ada rezeki adalah. Akhirnya saya berjaya juga dan banyak diberi peluang muncul dalam filem besar seperti Zanjeer, Krrish 3, Gunday dan Mary Kom. Bukan watak yang biasa tetapi peranan utama.

“Saya tidak pernah pergi ke sekolah lakonan dan tak tahu apa-apa langsung tetapi saya berminat untuk menjadi pelakon. Saya juga terlalu muda untuk memahami selok-belok industri. Saya anggap diri ini sangat bernasib baik kerana sejak beberapa tahun ini saya mencapai satu tahap di mana produser boleh nampak yang saya boleh membawakan pelbagai watak.

“Semuanya berjalan dengan lancar dan beberapa filem besar dengan pelbagai genre berada dalam genggaman saya,” katanya.

Untuk filem Krissh 3 dan Zanjeer, tumpuan diberikan kepada watak utama lelaki tetapi Priyanka tetap terima tawaran berlakon dalam filem itu kerana dia sukakan skripnya.

“Saya seorang yang selamba dan saya akan berlakon dalam filem itu kalau skripnya bagus. Sama ada tumpuan utama kepada watak lelaki, ia tidak akan menjejaskan saya sedikit pun. Meskipun watak saya hanya tempelan tetapi kalau saya buat yang terbaik, penonton akan tetap menyedari kehadiran saya dalam filem itu.

“Jadi kenapa saya perlu risau jika Krissh 3 dan Zanjeer dilabelkan filem untuk lelaki kerana apa yang penting adalah usaha kita untuk menonjolkan diri,” katanya yang turut dilantik menjadi Duta Muhibbah untuk UNICEF.

Anak kepada pasangan doktor ini juga aktif dalam kerja kebajikan terutama berkaitan kanak-kanak.

“Saya sukakan kanak-kanak kerana saya sendiri berada di alam kanak-kanak saya sering melihat ibu saya (pakar sakit puan) merawat wanita dan kanak-kanak. Kerjaya ibu banyak mempengaruhi hidup saya,” katanya.

Bagaimanapun jelitawan yang berusia 31 tahun itu tidak mahu mencampuradukkan kerjaya seni dengan kerja amal yang dilakukannya. Dia juga tidak akan mengetengahkan masalah wanita dan kanak-kanak dalam filem kerana katanya ia tidak adil untuk mereka.

“Filem adalah hiburan dan fiksyen sedangkan masalah wanita dan kanak-kanak adalah realiti dalam masyarakat. Kita mestilah berfikir secara realistik kerana kita buat filem untuk berniaga dan mencari keuntungan,” katanya.
sumber : http://www.hmetro.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved