Pengacara program 3R, Rafidah Abdullah meluahkan rasa gembira apabila dia berjaya merangkul anugerah pertamanya iaitu Anugerah Lakon Layar Komedi Terbaik (Filem) dalam Anugerah Lawak Warna 2013 yang berlangsung baru-baru ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Rafidah berjaya merangkul anugerah tersebut menerusi hasil karyanya dalam filem arahan Bernard Chauly, ‘Istanbul Aku Datang’.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan anugerah ini. Saya sangat gembira sekali dan saya anggap ini sebagai sebagai rezeki yang tidak diduga. Ini merupakan anugerah pertama yang saya peroleh melalui penglibatan sebagai penulis skrip dan lakon layar bagi filem ‘Istanbul Aku Datang’ ini. Sebelum ini anugerah yang saya terima lebih kepada kejayaan secara berpasukan menerusi program 3R, filem 'Gol & Gincu' dan sebagainya. Saya sangat berterima kasih kepada seluruh tenaga kerja produksi yang menjayakan filem ‘Istanbul Aku Datang’,” jelas Rafidah ketika ditemui usai malam anugerah.
Rafidah menjelaskan kini dirinya banyak terlibat dalam kerja-kerja penulisan skrip dan kerja-kerja belakang tabir dalam sesuatu produksi di samping bidang pengacaraan dan lakonan.
“Sekarang ini pun saya banyak terlibat sebagai penulis skrip dan banyak terbabit dalam kerja-kerja belakang tabir. Ada lagi dua karya yang bakal ke pawagam. Salah satunya adalah filem ‘Kami Histeria’ yang bakal menjengah ke pawagam pada hujung tahun ini dan filem adaptasi novel, ‘Manisnya Cinta’ yang baru sahaja selesai penggambarannya. Saya masih lagi terlibat dalam program 3R sebagai pengacara dan masih lagi berlakon. Tapi kini saya banyak terlibat untuk kerja-kerja di belakang tabir,” ujar Rafidah lagi.
Ketika diusik mengenai penampilannya yang kelihatan lebih feminin berbanding dengan penampilannya dahulu, Rafidah ada penjelasannya tersendiri mengenai perkara terbabit.
“Saya jenis orang yang tak suka kepada benda yang sama. Saya sentiasa sukakan perubahan dari segi imej saya sendiri. Saya rasakan sangat seronok untuk bertukar-tukar imej agar penampilan saya lebih menarik. Mana tahu selepas ini saya akan menukar imej dengan memotong rambut pendek seperti dulu, siapa tahu kan?,” seloroh Rafidah mengakhiri perbualan.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment