Pertengahan Jun lalu, heboh di media-media masa mengatakan kononnya pelakon yang sinonim dengan watak antagonis, Soffi Jikan dikatakan telah meninggal dunia akibat demam denggi.
Laporan tersebut bagaimanapun disahkan palsu, ini kerana yang meninggal adalah adik kepada pelakon tersebut dan bukan dirinya.
Sewaktu bertemu di majlis iftar bersama Anak-anak Yatim Darul Kifayah anjuran Grand Brilliance Sdn Bhd petang semalam, Soffi telah menyatakan bahawa dia tiada masalah dengan isu terbabit dan menganggap perkara tersebut adalah sekadar salah faham sahaja.
Salah faham je sebab laporan awal mengatakan adinda Soffi Jikan, jadi adinda itu mereka ingat merujuk kepada saya, padahal ia ditujukan untuk adik saya.
Saya tak ada masalah dan saya tahu itu tandanya ada orang yang ambil berat tentang diri saya. Lagipun pada awalnya isu itu berkaitan dengan adik dan bukannya saya sendiri.
Dalam pada itu, ketika diminta untuk mengulas mengenai isu kematian palsu para selebriti tempatan yang sering disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman sosial, Soffi akui perkembangan teknologi yang semakin canggih adalah punca utama mengapa isu seperti itu boleh timbul dan dia tidak menyalahkan individu tertentu seratus peratus.
Saya tak tahu artis lain macam mana sebab situasi dia mungkin berbeza. Tapi, macam saya cakapkan tadi, bagi saya kesan itu tidak terasa sangat sebab yang meninggal adalah adik saya.
Mungkin disebabkan masalah media masa yang terlalu laju menyebarkan sesuatu perkara mengakibatkan isu seperti ini berlaku. Kadang-kadang kita tulis maksudnya lain, tapi bila perkara itu disebarkan kepada umum, ianya akan menjadi meleret-leret sehingga berlaku salah faham.
Jadi, kalau nak sebarkan sesuatu perkara, pastikan berita itu sahih dan kena pastikan sumbernya dahulu.
Beralih kepada persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, pelakon ini menyatakan bahawa dia menyerahkan segala hal tersebut kepada isteri tercinta. Ini kerana, menurut Soffi, isterinya mempunyai cita rasa yang tersendiri berbanding dirinya.
sumber : http://www.ohbulan.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment