Bela Anjing Hobi Baharu Di Iran

[x]

Bela Anjing Hobi Baharu Di Iran

on Friday, 28 June 2013


PEMILIK anjing kini lebih selesa menggunakan internet untuk membeli atau mendapat perkhidmatan berkaitan haiwan peliharaan mereka.

IRAN kini sedang menguatkuasakan kembali peraturan memelihara anjing apabila semakin ramai penduduknya menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan.
Menurut ahli farmasi veterinar, Suroush Mobaraki, 34, permintaan terhadap anjing semakin meningkat di negara republik Islam itu.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan terhadap pemilikan anjing," ujar Suroush kepada AFP.
Katanya, kira-kira 15 hingga 20 ekor anjing dijual dalam sebulan. Dia percaya jumlah tersebut lebih tinggi di beberapa kedai haiwan peliharaan.

Lebih sedekad lalu, pemeliharaan anjing sebagai haiwan peliharaan adalah jarang berlaku di Iran. Ia berdasarkan kepercayaan tradisional dan pegangan agama yang mengangap haiwan itu tergolong sebagai 'najis' atau tidak bersih.
Namun begitu terdapat beberapa jenis anjing yang masih diterima untuk keperluan keselamatan bukan peliharaan.

Antaranya anjing pengawal, anjing pengembala biri-biri dan anjing pemburu. Sejak akhir-akhir ini peningkatan permintaan terhadap haiwan itu untuk dipelihara dalam kalangan golongan kelas pertengahan dilihat cuba meniru budaya Barat.
Pemilik anjing itu akan dikenakan tindakan jika membawanya ke tempat awam atau memandu bersama dalam kenderaan.

"Pada saya, ia bukan hanya seekor binatang tetapi merupakan salah seorang ahli keluarga kami," ujar seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Nahal, 28.
Suroush berkata, semakin ramai penduduk Iran kini menganggap pemeliharaan anjing sebagai salah satu budaya.
"Anjing dianggap budaya baharu sama seperti memiliki kereta mahal," ujarnya.

Larangan di tempat awam
Pemimpin Ayatollah Naser Makarem Shirazi dalam ucapannya pada Jun 2010 melabelkan memiliki anjing sebagai satu peniruan budaya Barat yang tidak bermoral dan bakal menghancurkan nilai-nilai kemasyarakatan Iran.

Sehubungan daripada kenyataan itu, Kementeriaan Budaya dan Panduan Islam melarang media menggunakan anjing dalam sebarang iklan.
"Malah, kami tidak dibenarkan menyimpannya di dalam kedai," ujar Suroush.
Peningkatan pemeliharaan itu memaksa pihak berkuasa melakukan beberapa peraturan.

Walaupun undang-undang memelihara anjing belum lagi dikuatkuasakan, tindakan keras akan diambil pihak berkuasa jika terdapat anjing yang dibawa ke tempat awam.
"Pihak polis akan bersemuka dengan pemilik yang membawa anjing berjalan-jalan. Anjing yang terdapat dalam kereta juga akan dikenakan denda," ujar Timbalan Ketua Polis, Ahmad Reza Radan.
Aktivis Hak Asasi Haiwan bagaimanapun mempersoalkan keperluan tindakan tersebut.

"Tiada undang-undang yang melarang memiliki anjing," menurut surat yang dikeluarkan oleh Persatuan Iran bagi Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan kepada Ketua Polis, Esmail Ahmadi Moqadam.

Persatuan itu menentang tindakan yang dianggap penangkapan besar-besaran anjing', apabila hampir satu dozen anjing telah ditangkap dan disimpan di lokasi yang tidak diberitahu.

Namun, pihak polis tidak memberi sebarang respons.

Bekas Ketua Kesatuan Kebangsaan Peguam Mahkamah Iran, Bahman Keshavarz berkata, haiwan peliharaan hanya salah di sisi undang-undang jika pemilik gagal menjaga standard kebersihan.
"Merampas haiwan tanpa keputusan kehakiman adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," ujarnya.
Beberapa ekor anjing yang ditangkap telah dikembalikan selepas pemilik membayar saman dan menandatangani ikrar untuk mematuhi kod moral.


HAMPIR 98 peratus daripada 70 juta penduduk Iran beragama Islam.


sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved