SIAPA tidak kenal ibu tunggal jelita, Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta yang dilanda kontroversi bersiri sepanjang 10 tahun bergelar artis.
Namun bagi Che Ta, status dirinya itu tidak menghalangnya daripada meneruskan hidup seperti wanita normal lain.
Hasil perkahwinan terdahulu bersama seorang juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), Che Ta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15, yang kini bersekolah di Yayasan Saad, Ayer Keroh, Melaka.
Bagi dirinya, anak-anak merupakan kekuatan untuk dia terus berdiri sejak ketiadaan seorang lelaki yang bergelar suami sepanjang 10 tahun lalu.
Tanpa diduga, selepas lapan tahun menceburi bidang lakonan, Che Ta akhirnya bertemu dengan seorang jejaka yang berjaya menambat hatinya.
Wanita ini tidak pernah terfikir untuk bercinta dan berkahwin sekali lagi kerana baginya, cuma anak-anak yang menjadi keutamaannya sekarang.
Bekas pramugari MAS itu berkata, umur bukan faktor dia memilih untuk berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda daripada dirinya.
"Jodoh kita semuanya telah diatur. Siapa sangka saya akan berkahwin lagi tetapi saya terima dan reda," ujarnya.
Che Ta, 42, yang anggun menggayakan busana raya ketika ditemui pada rakaman program Primadona Raya di Studio 1 Astro di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini mengulas tentang keserasian dirinya dengan kekasih hati, pelakon Zain Saidin, 29.
Katanya, ia memerlukan kerjasama kedua-dua belah pihak untuk menjadi lebih matang.
"Ada sesetengah lelaki suka wanita yang lebih matang dan berpengalaman, jadi dia (Zain) terima saya seadanya. Malah saya juga selesa bersama dengannya.
"Kadang-kadang berlaku juga perselisihan pendapat tetapi kami sedia berbincang.
"Kami sentiasa menjadi seimbang, maksudnya kalau saya rasa kedudukan saya lebih tinggi daripada dia, saya akan turun dan menjadi sama tahap dengannya," jelas Che Ta yang memberitahu, keserasian mereka berdua turut terbina atas faktor berkongsi minat yang sama iaitu bermain badminton dan futsal.
UTAMAKAN ANAK. Che Ta diapit dua anak kesayangannya, Ammar (kiri) dan Aniq.
Apabila melangkah ke gerbang perkahwinan, sudah pasti setiap pasangan inginkan yang terbaik untuk rumah tangga yang akan dibina.
Bakal isteri kepada jejaka berdarah campuran Melayu-Inggeris ini menyatakan harapannya terhadap perkawinan keduanya itu tidak menggunung, cukup apa yang terbaik untuk hubungan mereka.
"Tanyalah kepada mana-mana pasangan, sudah tentu mereka berharap yang terbaik untuk rumah tangga mereka. Bagi saya, mungkin ada benda-benda yang akan berlaku tapi saya lebih banyak berbincang dan kata sepakat," ujarnya yang tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan anak bersama Zain.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment