MENGAKUI jarang berlakon, Fauziah menegaskan dia cuma berlakon untuk satu produksi dalam setahun.
PADA usia yang sudah mencecah 43 tahun, penyanyi popular Fauziah Latiff masih anggun dan bergaya. Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Jeffri Joaquim Indot, 14, dan Jeremy Jay Indot, 12, itu juga tidak dimamah usia dan masih mampu mengekalkan kejelitaannya.
Baru-baru ini, penyanyi berkenaan membuat kemunculan istimewa dalam satu majlis pengumuman tentang pelantikan dirinya sebagai duta produk pati ikan haruan Polleney di Hotel Royal Bintang, Damansara, Selangor.
Memandangkan agak sukar untuk bertemu dengan penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu, Kosmo! cuba mencungkil tentang perkembangan dirinya kini.
Kosmo!: Bagaimana dengan kehidupan anda sekarang?
FAUZIAH: Saya menjalani kehidupan seperti biasa sebagai seorang artis dan masih aktif menyanyi, cuma saya lebih kerap membuat persembahan untuk acara-acara korporat.
Selain itu, saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri terbitan Skop Production iaitu Roda-Roda KL dengan saya memegang watak sebagai Inspektor Fauziah.
Setakat ini anda juga jarang menerima tawaran berlakon. Jadi, apakah kriteria yang anda tentukan apabila memilih sesuatu tawaran itu?
Saya akui memang jarang berlakon drama dan biasanya dalam setahun saya berlakon dalam sebuah drama sahaja. Selalunya saya akan menilai dahulu watak yang diberikan sebelum menerima tawaran berlakon berkenaan.
Untuk drama bersiri Roda-Roda KL ini, saya melihat watak yang diberikan agak menarik dan mencabar. Ia memberi pengalaman yang berguna, terutamanya dapat mengetahui dengan lebih mendalam tugas-tugas seorang anggota polis.
Kali terakhir anda menghasilkan album ialah pada tahun 2006 iaitu Pesona. Adakah ada perancangan untuk menghasilkan album baharu?
Untuk album baharu belum ada perancangan lagi, tetapi saya ada menerima tawaran untuk menghasilkan single baharu. Saya masih mempertimbangkan tawaran tersebut.
Setelah dua kali mendirikan rumah tangga, tidakkah anda terfikir untuk berkahwin lagi?
Sebenarnya saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang. Biarpun bergelar ibu tunggal, ia langsung tidak menghalang saya untuk membesarkan kedua-dua orang anak yang kini meningkat remaja.
Berkenaan dengan soal jodoh dan perkahwinan pula, ia tidak menjadi keutamaan saya buat masa ini. Saya bersyukur kalau ditakdirkan bertemu jodoh dengan mana-mana lelaki dan pada masa yang sama tidak kisah memegang status solo sampai bila-bila.
Baru-baru ini tersebar gambar kedua-dua anak anda di internet. Boleh komen sedikit mengenai perkara tersebut?
Secara peribadi saya kurang selesa apabila gambar mereka tersebar di internet memandangkan mereka masih bersekolah. Saya mahu anak-anak saya membesar sebagai remaja normal dan tidak mahu mereka terlalu menjadi tumpuan.
sumber :http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment