Bangkit daripada sejarah hitam yang pernah menyelubungi hidupnya tiga tahun lalu, Radhi OAG atau nama lengkapnya, Muhd Radhi Razali, 36, menyusun kembali strategi supaya kemunculan terbarunya memberi impak kepada industri muzik.
Mengumpul pengikut tersendiri ketika muncul bersama OAG atau Old Automatic Garbage sejak 1994, Radhi yang bertindak sebagai vokalis berbangga kerana muzik yang mereka perkenalkan kekal relevan merentas masa.
Namun keselesaan itu bukanlah alasan untuk Radhi terus kekal pada posisi serupa.
Akur perubahan perlu supaya bakatnya tidak bernoktah, Radhi melakukan perubahan yang signifikan apabila nekad membawa karyanya di pentas luar.
Radhi berkata, dia akan menyertai World Art Games yang berlangsung di Croatia pada 29 Jun hingga 10 Julai depan, mengadun elemen muzik alternatif yang sebati dengan OAG bersama keroncong.
“Cetusan idea itu bertitik tolak daripada amanat arwah bapa sebelum meninggal dunia, tahun lalu. Arwah pernah berpesan supaya saya merakamkan lagu keroncong, tetapi saya tidak pernah serius memikirkan usul itu.
“Hanya selepas arwah meninggal, saya dapat merasakan pesanan itu seperti amanat yang harus disempurnakan.
“Alhamdulillah kerana percubaan ini mendapat kerjasama pemuzik dari Akademi Seni Budaya & Warisan (ASWARA). Ia menjadi peluang terbaik untuk saya bereksperimen dan memperlihatkan kejituan muzik tradisi.
“Saya percaya apabila dua elemen muzik yang berbeza itu disatukan akan menghadirkan sebuah kelainan yang mencuri perhatian orang luar,” katanya.
World Art Games kata Radhi, akan menyaksikan himpunan penggiat seni daripada seluruh pelusuk dunia menampilkan penyertaan daripada artis kontemporari untuk meluahkan ekspresi vseni mereka.
Menerusi pertandingan itu juga, penggiat kreatif daripada pelbagai disiplin akan membentuk satu jaringan dengan mempersembahkan karya seni dari negara yang menyertai.
sumber : http://www.bharian.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment