YUNA mengakui dia dan Julian kini masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing.
KETIKA ini lagu berjudul Lelaki nyanyian dan hasil ciptaan oleh penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna semakin kerap berkumandang di stesen-stesen radio tempatan serta menjadi siulan ramai.
Di sebalik populariti yang diraih lagu berkenaan, sebenarnya timbul sedikit persoalan.
Ini kerana apabila menghayati setiap lirik yang dihasilkan olehnya seolah- olah seperti dituju kepada seseorang.
Bagaimanapun, Yuna menerusi sidang video Skype bersempena konsert sulungnya di Istana Budaya menjelaskan bahawa Lelaki lebih bersifat umum dan langsung tidak ditujukan kepada bekas kekasihnya, Qi Razali.
“Kalau ada yang menyangka lagu Lelaki saya tujukan kepada Qi, ternyata ia tidak benar sama sekali. Ini kerana ia sudah dihasilkan sejak lebih setahun yang lalu.
“Ketika saya mencipta lagu berkenaan, kami masih lagi menjalinkan hubungan percintaan, malah Qi turut serta menemani saya ketika ia dirakamkan di studio,” ujarnya yang kini melebarkan kariernya dengan berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Biarpun lagu itu dilihat seolah-olah seperti memarahi lelaki, Yuna menyatakan bahawa ia disampaikan dalam bentuk yang lebih humor dan dia gembira apabila ia semakin diminati ramai.
Pada masa yang sama, Yuna turut diminta mengulas mengenai hubungannya dengan jejaka Inggeris bernama Julian Schratter memandangkan gambar mesra mereka berdua sering dimuat naik di laman Instagram. Dia bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenainya.
Menurutnya, ketika ini dia mahu memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyiannya di Amerika Syarikat terlebih dahulu dan kurang selesa apabila kisah peribadinya menjadi terlalu sensasi.
“Kalau diminta komen saya mengenai hubungan dengan Julian, rasanya jawapan yang diberikan ini pastinya agak klise. Namun begitu, saya akui kami masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
“Jadi, saya minta maaf kerana tidak dapat bercerita lanjut kerana ia cukup peribadi untuk dikongsi. Lagipun saya mengambil pengajaran terhadap kegagalan dalam percintaan yang dialami sebelum ini,” ujarnya.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment