Pelakon yang popular menerusi watak Rangga dalam filem 'Ada Apa Dengan Cinta', Nicholas Saputra menjelaskan dalam setahun dia hanya mengambil satu tawaran berlakon filem.
"Saya hanya akan mengambil satu tawaran lakonan sahaja untuk satu tahun. Tapi pada tahun ini, dua filem lakonan saya ditayangkan di pawagam di Indonesia. Filem 'What They Don't Talk About When They Talk About Love' telah ditayangkan bulan lalu dan filem 'Cinta Dari Wamena' sedang ditayangkan sekarang. Perkara ini berlaku kerana proses pembikinan filem 'Cinta Dari Wamena' mengambil masa tiga tahun sebelum ditayangkan di pawagam," jelas Nicholas yang juga menyatakan dia bersikap selektif dalam memilih skrip dan watak sebelum bersetuju untuk membintangi sesebuah filem.
"Beberapa tahun lalu, saya pernah mendapat tawaran untuk berlakon di Malaysia, namun pada ketika itu jadual kerja saya agak padat. Saya juga berminat untuk menceburkan diri sebagai karyawan yang bekerja di belakang tabir dalam pembikinan sesebuah filem, tapi bukanlah sekarang," ulas Nicholas lagi.
Nicholas diterbangkan khas ke Malaysia oleh Media Prima Berhad bersempena dengan 'Media Prima Ramadan & Raya Screening'. Dua filem lakonannya, 'Ada Apa Dengan Cinta' dan 'Janji Joni' bakal ditayangkan di kaca televisyen pada Aidilfitri nanti.
"Saya akan berada di Malaysia selama enam hari. Selain muncul di 'Media Prima Ramadan & Raya Screening', saya juga tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati makanan India yang saya gemari di sini. Saya suka makan nasi daun pisang yang boleh didapati di Bangsar," jelas Nicholas yang mengakui agak sukar baginya untuk mencari masakan ala India di Jakarta.
Selain itu, Nicholas juga bercadang untuk menghabiskan masa dengan bersantai sahaja di Kuala Lumpur.
"Saya akan menghabiskan masa untuk merehatkan diri. Selain itu, saya juga akan berlibur bersama teman-teman saya yang menetap di Malaysia," ulas Nicholas mengakhiri perbualan.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment