Pengemis Asing Mampu Tinggal Di Hotel 3 Bintang

[x]

Pengemis Asing Mampu Tinggal Di Hotel 3 Bintang

on Friday 4 July 2014



Pengemis asing di ibu negara didapati mampu tinggal di hotel tiga bintang menggunakan hasil sumbangan orang ramai, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata maklumat itu didapati hasil siasatan beberapa agensi kerajaan ke atas golongan pengemis di bandar raya ini.

Oleh kerana itu, kerajaan memutuskan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pemberi sedekah bagi memastikan sumbangan wang itu benar-benar diberikan kepada golongan yang memerlukan, katanya.

“Kita tak mahu pengemis di sepanjang jalan. Kita juga nak hentikan kegiatan sindiket (pengemisan). Saya tahu ada sindiket yang hantar budak-budak, (warga) Rohingya dan orang asing untuk dapat duit dan dia pula jadi tauke,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataannya semalam berhubung tindakan kerajaan untuk mewujudkan peraturan bagi mendenda pemberi sedekah di ibu negara bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Jika kita dapat tangkap pemberi sedekah, mereka akan didenda RM150 dan diberikan resit bernombor. Wang itu akan dikumpulkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan akan disalurkan kepada golongan miskin,” katanya.


Tengku Adnan berkata, undang-undang kecil dan prosedur operasi standard mengenai perkara itu akan diperkenalkan dalam tempoh seminggu dua lagi.

Tegasnya, mana-mana pihak atau individu yang ingin bersedekah boleh menggunakan saluran seperti pusat pungutan zakat, majlis-majlis agama atau persatuan berkaitan untuk tujuan itu.

Bagi tujuan sama, pusat-pusat yang memberi makan kepada golongan gelandangan juga perlu berpindah dari pusat bandar raya bermula minggu depan atau bakal didenda dalam usaha membersihkan ibu kota daripada pengemis dan gelandangan, katanya.

Beliau berkata pusat-pusat itu kini tidak lagi dibenarkan untuk beroperasi di dalam lingkungan duakilometer dari kompleks membeli belah Lot10 di Jalan Bukit Bintang.

Tengku Adnan juga berkata pihaknya telahpun mendapatkan pekerjaan untuk golongan gelandangan dan pengemis ini, tetapi mereka ini didapati “malas” dan enggan meneruskan kerja yang telah diberikan.

Selain itu, usaha kementerian untuk mewujudkan pusat perlindungan untuk golongan itu didapati akan menyebabkan mereka rasa puas dan tidak mahu bekerja, katanya.

“Imej bandar raya ini sangat buruk. Jika kita tidak ambil tindakan itu, masyarakat akan menjadi tidak berdisiplin,” jelasnya apabila ditanya sama ada beliau terlalu tegas dalam keputusannya kali ini.

Tengku Adnan turut melahirkan kebimbangan dengan wujudnya komuniti pengemis dan gelandangan di ibu kota, yang akan menyebabkan masalah kebersihan yang boleh menggalakkan pembiakan nyamuk aedes dan tikus.

Kementerian melalui DBKL akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pelbagai agensi berkaitan untuk melaksanakan ‘pembersihan’ itu, katanya. – BERNAMA
sumber:http://mynewshub.my/main
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved