Hukum ‘Selfie’ Harus, Bergantung Kepada Niat

[x]

Hukum ‘Selfie’ Harus, Bergantung Kepada Niat

on Wednesday 2 July 2014


“Sebelum apa-apa kita ‘selfie’ dulu”, itu antara dialog yang sering didengar dan menjadi kebiasaan peminat ‘selfie’, fenomena baharu yang menjadi trend masa kini masyarakat, khususnya kalangan Gen Y dan Gen Z.

Hanya dengan menggunakan telefon pintar atau kamera web yang dilengkapi aplikasi Internet, pengguna boleh ‘selfie’ dan terus memuat naik gambar ke laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.

‘Selfie’ merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar untuk dimuat naik ke laman sosial.

Perkataan ‘selfie yang menjadi popular pada tahun lalu apabila dikaitkan dengan tokoh-tokoh dunia akan menjadi sebahagian daripada Kamus Dewan, kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), demikian menurut Ketua Pengarahnya Datuk Dr Awang Sariyan.

APAKAH HUKUM ‘SELFIE’

Dalam menempuhi Ramadan yang penuh barakah ini, melakukan ‘selfie’ dilihat semakin rancak dalam kalangan umat Islam sedangkan dalam Islam mengajar umatnya bersederhana dalam segala hal dan tidak menunjuk-nunjuk.


Timbul persoalan apakah hukum ‘selfie’ ketika umat Islam mengejar sebanyak-banyak pahala mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa dan meningkatkan amal ibadat di bulan mulia ini.

Menjawab persoalan itu, pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Ustaz Dr Muhammad Lukman Ibrahim berkata hukum asal ‘selfie’ adalah harus tetapi ia berubah mengikut keadaan.

Jelasnya, jika berniat sekadar bergambar biasa untuk berkongsi detik indah bersama rakan-rakan, ia adalah harus.

Beliau tegas mengingatkan bahawa individu yang ‘selfie’ mestilah menjaga adab sopan dan hukum hakam agama seperti menutup aurat, memakai pakaian yang longgar, tidak melampau serta tidak bertujuan menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.

“Apabila ‘selfie’ sudah menjadi satu tabiat iaitu ke mana sahaja hendak ‘selfie’ maka ia termasuk dalam perkara yang sia-sia. Allah SWT berfirman (sifat) orang mukmin ialah menjauhi perkara sia-sia,” katanya kepada Bernama.

Turut mengulas sikap mereka yang gemar berkongsi gambar-gambar menunjukkan kemewahan dan berbangga-bangga, Dr Muhammad Lukman berkata perlakuan sedemikian harus dijauhi.

“Gambar-gambar makanan di hotel-hotel bertaraf lima bintang dan seumpamanya tidak sepatutnya dikongsikan di laman media sosial seperti Facebook, Twitter, dan Instagram.

Pada masa sama, beliau berpendapat perkara yang kelihatan mewah dan mempamerkan rasa bangga tidak perlu dikongsi kerana ia boleh mencetuskan sifat riak kepada individu berkenaan dan menimbulkan perasaan hasad dengki kepada orang yang melihatnya.

NIAT IKHLAS

Berkongsi pandangan yang serupa, pensyarah kanan, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian IslamUniversiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata budaya ‘selfie’ perlu dilihat daripada sudut positif.

“Jika ada yang sengaja bertujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk ketika ‘selfie’ maka ituantara dia dengan Allah SWT, bagi saya ia tidak dilarang dalam syarak. Begitu juga sekiranya ia bertujuan mengagung-agungkan Ramadan.

“Mungkin dengan cara ‘selfie’ di masjid menguatkan lagi semangat orang lain untuk datang ke masjid, pada masa sama kita seronok melihat mereka begitu gembira dengan kehadiran Ramadan,” katanya.

Mengenai sikap segelintir mereka yang suka berkongsi gambar makanan di laman sosial, beliau berkata: “Ia tidak salah, sekiranya gambar yang dikongsi bersama ‘friends’ atau ‘followers’ itu adalah golongan sama taraf dengan mereka. Tetapi jika di kalangan teman-teman, ada golongan yang susah atau fakir miskin maka lebih baik jangan dimuat naik.”

Mohd Izhar menasihatkan masyarakat memperbetulkan setiap niat mereka agar dapat mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Belia Masjid Batu Gajah, Mohd Shaiful Rizal Mohd Saed, 29, berkata budaya ‘selfie’ dalam beribadat tidak perlu kerana ia melibatkan urusan antara manusia bersama Allah SWT.

“Tidak dinafikan ada ‘selfie’ yang membawa ke arah kebaikan tetapi kadang kala bimbang jika gambar yang dikongsi akan menimbulkan fitnah,” katanya mengingatkan. – BERNAMA
sumber:http://mynewshub.my/main
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved