— category

[x]

Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose Dalam 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta'

on Sunday, 1 December 2013

Sharnaaz Ahmad

Pelkaon Sharnaaz Ahmad akan bergandingan dengan aktres Neldyia Senrose dalam drama bersiri berjudul Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang akan disiarkan setiap Isnin hingga Rabu bermula 9 Disember ini, pukul 10 malam di Astro Mustika (saluran 134).

Drama bersiri 60 episod ini merupakan adaptasi daripada sebuah novel popular karya E-Man Sufi dan diarahkan oleh Jamal Khan.

Pengurus Saluran Mustika HD, Natasha Hashim berkata, saluran ini sudah sinonim dengan drama bersiri terbaik dan mengumpulkan kelompok peminat tersendiri.

"Gabungan pemilihan novel yang padat dengan jalan cerita ditambah dengan olahan dan pengarahan drama yang baik mejadi nadi kepada karya hebat tersebut.

"Kita juga berbesar hati memperkenalkan lagu tema Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang berjudl Salahkah dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Datuk Rossa dan Hafiz," katanya.
Nelydia Senrose

Drama ini mengisahkan kehidupan seorang lelaki kataris bernama Jebat lakonan Sharnaaz, berdarah campuran Melayu dan Cina yang berubah daripada jalan hitam kepada kehidupan yang semakin baik.

Jebat jatuh cinta dengan seorang wanita bernama Matura lakonan Nelydia selepas tekad berhijrah mendalami agama Islam.

Pelbagai konflik terjadi yang menjadi halangan percintaan mereka.

Drama ini turut dibintangi oleh Iqram Dinzly, datuk Jalaluddin Hassan, Lisdawati, Chew Kin Wah, Adeline Tsen dan Tony Eusoff.
sumber: http://www.mstar.com.my/

Ayu 20 sen sudah bergelar nenek


SRI RAHAYU SUDARMAJI

SEHINGGA kini, watak Ayu yang mulutnya perlu ‘ditutup’ dengan wang 20 sen agar tidak membuka rahsia percintaan di antara Sudin dan Zaiton di dalam filem Bujang Lapok terus diingati.

Tidak ramai yang mengambil peduli siapa empunya diri, apatah lagi untuk mengetahui nama sebenarnya, tetapi karakter Ayu tetap popular sehingga gambar aksinya meminta 20 sen daripada Zaiton dan Sudin dimuat naik secara meluas di laman sosial sebagai sebahagian daripada jenaka sewaktu kenaikan harga minyak dalam jumlah yang sama baru-baru ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Ayu yang dahulunya nakal dan sering berseluar pendek tanpa berbaju, kini sudah pun berusia 61 tahun dan sedang menanti kelahiran cucunya yang kelima.

Seperkara lagi yang tidak ramai pihak tahu, pemilik nama Sri Rahayu Sudarmaji itu adalah anak kepada pengarah filem yang mempunyai hubungan cukup rapat dengan P. Ramlee, S. Sudarmaji.

Menceritakan detik bagaimana dia ditawarkan berlakon, Ayu berkata ketika berusia empat tahun setengah, bapanya sebaik sahaja pulang dari studio memberitahu yang P. Ramlee mahu mengambilnya berlakon.

“Disebabkan saya menganggap semua yang bekerja di Jalan Ampas termasuk jurusolek terdiri daripada pak cik dan mak cik kawan bapa, saya tidak takut dan terus memberi persetujuan.

Adegan pertama ketika P. Ramlee membelanja Rokiah dan 10 lagi adik-beradiknya makan. Saya menjadi adik Rokiah dan melompat-lompat di atas meja makan restoran tersebut.

“Hanya selepas itu, rambut saya dipotong pendek seperti lelaki dan kemudian, barulah adegan-adegan lain dilakonkan. Tiada masalah buat saya dengan watak sebegitu kerana sewaktu kecil, saya memang tidak suka berbaju seperti dalam filem itu," katanya.

Ayu menambah, sewaktu adegan Sudin dan Zaiton berbincang di bawah sampan mengenai perkahwinan mereka, beliau menghadapi kesukaran untuk menuturkan dialog akibat mengantuk.

“Rakaman dijalankan pada pukul 12 malam menyebabkan saya tidak dapat fokus. Setelah berkali-kali gagal, P. Ramlee menghentikan rakaman untuk berehat dan kami minum kopi ‘o’ (Minuman kegemaran P. Ramlee). Apabila habis saja minum kopi, saya terus dapat melakukannya tanpa ada masalah," katanya.

Bagaimanapun tugas Ayu sebenarnya tidak terhenti di situ. Beliau selepas itu perlu menjalani proses ‘dubbing’ untuk memasukkan suara.

“Saya duduk berdua dengan ayah di bilik rakaman itu. Apabila sampai adegan yang memerlukan saya bersuara, ayah akan menepuk di bahagian belakang badan sebagai isyarat supaya saya bercakap, sama seperti yang dituturkan ketika berlakon," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui tidak ramai daripada kenalannya tahu dirinya adalah Ayu yang cukup menarik perhatian di dalam filem tersebut.

“Bekas rakan sekerja tidak tahu, malah jiran pun sama. Jiran di sebelah rumah ini pun hanya mengetahui tentang perkara itu setelah saya terserempak dengan pelakon drama, Osman Zailani yang selalu datang ke rumahnya pada setiap kali Ramadan," katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Sumber: Utusan Malaysia

Jimmy Shanley Bakal Nikah Januari 2014?

Sebelum ini nama selebriti Jimmy Shanley kembali hangat diperkatakan peminat apabila pihak media cuba merisik status terkini beliau yang dikatakan telah bernikah dengan seorang janda.

Jimmy enggan mengulas perkara itu, namun beliau menyatakan, "apa yang penting saya tak bernikah disiam".

Pun begitu, menurut beberapa sumber yang rapat dengan media menyatakan, Jimmy Shanley akan menamatkan zaman dudanya pada awal tahun 2014, dijangka pada bulan Januari nanti.

Ini kerana Jimmy juga dikatakan telah menempah tiket untuk pergi berbulan madu pada bulan Mac 2014 nanti.
sumber:Kezoom

Satu minggu jual satu pistol

MEMBELI pistol di pekan Sungai Golok, Thailand tidak sesukar yang disangka malah selepas membayar harga senjata api antara RM4,500 hingga RM10,000 sepucuk, ia dengan mudah boleh dibawa masuk ke Malaysia.

Bagaimanapun, individu yang mahu membeli pistol perlu melalui beberapa orang tengah yang sudah biasa dengan ejen menjual senjata api itu.

Di pekan Sungai Golok sahaja dikatakan terdapat kira-kira 10 ejen menjual senjata api dan ada sebanyak 111 jalan tikus yang pada bila-bila masa boleh dibolosi dengan pelbagai barang seludup.

Pembeli senjata api di pekan Sungai Golok itu pula kebiasaannya membabitkan samseng dan penjenayah dari Malaysia. Menurut sumber, misi membeli dan membawa keluar senjata api yang sudah dibeli jarang gagal.

Ikuti temu bual wartawan Kosmo! dengan seorang ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok yang aktif menjual senjata sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Lelaki itu mahu dikenali sebagai Abang Sham. Wawancara dengannya dijalankan menggunakan Bahasa Melayu loghat Siam-Kelantan.

Wartawan Kosmo!: Sejak bila anda mula berkecimpung dalam kerja ini?

Abang Sham: Sudah lama, mungkin lebih 10 tahun. Bagaimanapun, ini bukan kerja tetap saya. Saya ada kerja tetap lain tetapi tidak perlulah saya dedahkan.

Kenapa anda pilih kerja sampingan yang salah dan bahaya?

Saya lakukan kerja ini untuk dapat duit tambahan selain gaji tetap. Saya juga bukan satu-satunya orang yang jual senjata api di pekan Sungai Golok, malah rasanya ada lebih 10 orang lain yang buat kerja sama seperti saya.

Siapa yang datang beli senjata?

Sejak jual senjata api, pelanggan saya banyak orang berketurunan Cina dari Malaysia. Alasan mereka beli senjata, katanya, untuk disimpan. Saya pula tidak tanya lebih kerana itu urusan mereka dan bagi saya, saya hanya mahu duit hasil jual senjata.

Apa jenis senjata yang dijual dan berapakah harganya?

Kebiasaannya pelanggan akan beli senjata api ikut harga dan jarang dalam kalangan mereka yang pilih senjata api ikut jenis. Harga senjata api yang saya jual bermacam-macam bergantung kepada jenis dan sama ada senjata itu barang lama atau baharu.

Sebagai contoh, jika senjata api jenis 9mm harganya RM6,500 tetapi jenis sama bagi senjata sudah terpakai harganya sekitar RM4,500 hingga RM5,000. Pistol Glock pula ialah senjata moden yang lebih mahal dan harga senjata baharu Glock ialah RM10,000. Bagi Glock lama, harganya antara RM7,000 hingga RM7,500.

Senjata api jenis Smith & Wesson semi automatik merupakan senjata api terlaris. Turut dibeli senjata jenis Walther.



PISTOL boleh diseludup keluar dari pekan Sungai Golok, Thailand ke Malaysia dengan menunggang motosikal melalui Kompleks Imigresen Rantau Panjang, Kelantan.

Berapa keuntungan jual senjata api dan di mana anda dapat bekalan?

Saya akan jual sekiranya untung dalam RM400 hingga RM500 sepucuk. Bekalan senjata api yang saya jual biasanya saya beli daripada rakan-rakan yang mahu jual senjata api mereka. Rakan-rakan saya pula ada yang beli dari kedai senjata api berlesen atau mereka beli dari Vietnam.

Macam mana dengan peluru?

Saya tidak jual peluru tetapi pembeli boleh beli sendiri di kedai-kedai jual senjata api berlesen di pekan ini. Beli pistol dan peluru adalah satu perbuatan salah di Thailand tetapi kita boleh beli secara curi-curi. Beli peluru lebih senang berbanding beli pistol. Harga sekotak peluru mengandungi 50 butir peluru ialah kira-kira RM190.

Bagaimana pelanggan cari anda?

Perkara itu memang sulit. Orang yang mahu beli senjata api akan risik mengenai ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok sebelum dia jumpa saya. Urusan jual beli pula akan berlaku di bilik-bilik hotel besar. Hotel-hotel adalah tempat selamat untuk urusan seperti ini.

Siapa tempah hotel?

Hotel tempat pertemuan diuruskan oleh pelanggan dan selepas diberi nombor bilik, saya kebiasaannya dengan seorang lagi rakan terus ke bilik hotel dan selesaikan urusan jual beli senjata.

Kadang-kadang saya akan bawa lebih daripada sepucuk senjata api untuk dipilih pelanggan. Sejak bergerak menjual senjata api kira-kira 10 tahun lalu, belum pernah saya ditimpa masalah. Semua urusan saya berjalan lancar.

Tanggungjawab siapa yang bawa keluar senjata itu dari pekan Sungai Golok?

Senjata api yang dijual adalah atas risiko dan urusan pembeli. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan dengan senjata itu. Namun apa yang diberitahu pelanggan yang beli senjata api di pekan Sungai Golok boleh bawa keluar senjata itu dengan cara menunggang motosikal keluar dari sini.

Setakat ini, belum saya dengar ada pelanggan saya kena tangkap selepas beli senjata api daripada saya.

Adakah pembelian senjata api sejak dua tahun kebelakangan ini meningkat?

Jualan saya dalam tempoh itu sama saja. Dalam seminggu secara purata saya jual sepucuk pistol, dalam setahun kira-kira 50 pucuk.

Selain melalui sempadan Rantau Panjang, di lokasi mana senjata api kerap dibawa ke Malaysia?

Pangkalan Asan Merah di Rantau Panjang dan Pangkalan Kubur di Tumpat. Melalui kedua-dua buah pangkalan haram itu, pelanggan boleh naik bot dan balik ke Malaysia bersama pistol yang telah dibeli.
Sumber: kosmo.com.my
 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved