Adibah Noor Tidak Terkejut Karya Disekat Radio Lain

[x]

Adibah Noor Tidak Terkejut Karya Disekat Radio Lain

on Thursday 29 August 2013

Adibah Noor

 Penyanyi dan penyampai radio Suria FM, Adibah Noor tidak berasa terkejut jika lagu duet baharunya bersama penyampai radio Era FM iaitu Dina Nadzir berjudul Malaysia Kau Ku Cinta tidak dimainkan oleh stesen radio swasta lain.

Biarpun begitu, Adibah, 43, berkata, dia agak terkilan dengan diskriminasi yang dilakukan oleh pihak pengurusan stesen radio jika lagu tersebut dianggap sebagai satu produk daripada pesaing mereka.

"Ketika lagu ini diedarkan, pihak Sony Music sudah beritahu awal-awal besar kemungkinan ia tidak dimainkan di radio swasta lain kerana saya dan Dina kedua-duanya penyampai radio.

"Saya berasa terkilan kerana lagu tersebut adalah atas kapasiti kami sebagai penyanyi dan bukan penyampai radio," katanya ketika ditemui pada pelancaran lagu duet bersama video muzik berjudul Malaysia Kau Ku Cinta terbitan Adibah Noor Entertainment, di sini.
Adibah Noor dan Dina Nadzir

Bagaimanapun, Adibah berkata, dia faham dengan perkara tersebut dan hanya berserah kepada rezeki yang datang.

"Saya tidak salahkan deejay radio kerana itu bukan bidang kuasa mereka untuk buat pemilihan lagu, mereka juga menerima arahan daripada pihak pengurusan.

"Apa-apa pun saya sudah cuba buat terbaik dan selebihnya hanya berserah," katanya.

Adibah juga mengakui sejak menceburkan diri dalam bidang penyiaran radio, lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini agak sukar didengar di stesen radio lain.

"Saya perasan juga lagu saya sudah tidak dimainkan lagi di mana-mana stesen radio lain, tapi tidak mengapa saya percaya pada rezeki.

"Ketika mula-mula ditawarkan menjadi deejay di Suria FM, pihak pengurusan sudah beritahu risiko yang bakal saya hadapi ini awal-awal lagi," katanya.

Bercerita tentang lagu Malaysia Kau Ku Cinta ciptaan Azlan Abu Hassan ini, Adibah berkata ia merupakan salah satu impiannya untuk mempunyai sebuah lagu patriotik.

"Saya memang lama ingin ada sebuah lagu patriotik macam Allahyarham Sudirman dan kalau boleh ia dimainkan pada setiap kali Hari Kemerdekaan.

"Lagu ini akan dimasukkan dalam album duet saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi, sekarang sudah rakam lima buah lagu iaitu bersama Sam (Inuenddo), Nizam, Amir Jauhari, Dina Nadzir dan Anuar Zain," ujarnya.

Sementara itu, pemilihan Dina sebagai rakan duet untuk lagu ini adalah berikutan suara dan bakat penyanyi itu yang kurang digunakan.

"Saya melihat Dina seorang penyanyi yang mempunyai suara yang sangat bagus tetapi tidak digunakan dengan baik.

"Sayang kita tidak beri peluang kepada dia menjadi penyanyi," katanya.
sumber : http://mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved