Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa, Wan Abdul Khairul Iwan Wan Kamarudin, 33, parah dan patah kaki, manakala isterinya, Suzela Ismail, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk selepas tersepit dalam kereta Perodua Kancil yang mereka naiki.
Turut berada dalam kereta itu anak mereka Wan Shuhada lima tahun yang patah tangan kanan.
Ibu Wan Abdul Khairul Iwan, Asiah Mamat, 53, berkata, ketika kejadian, anaknya yang dipanggil Iwan dalam perjalanan menghantar Suzela ke tempat kerja dari rumah mereka di Kampung Banggol Lepah, Keterah.
“Memang menjadi rutin harian Iwan menghantar isterinya ke tempat kerja. Selepas itu hantar cucu ke tadika sebelum ke bengkel tempatnya kerja di Kok Lanas.
“Jalan yang mereka guna itu memang dilalui hari-hari, tetapi tidak sangka jadi begini.
“Kami sekeluarga sedih tetapi Iwan lebih merasakan keperitan itu apatah lagi, ketika kejadian dia sendiri melihat Suzela sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), di sini, semalam.
Bagaimanapun Asiah berkata, mereka reda dengan apa yang berlaku dan kini perlu memberi sepenuh tumpuan kepada proses pemulihan Wan Shuhada yang trauma dengan kejadian itu dan masih dirawat di HRPZ bersama Iwan.
Katanya, anak sulung daripada sembilan beradik itu turut memaklumkan yang Wan Shuhada hanya mampu menjerit dan menangis sebaik kejadian berlaku.
“Iwan maklumkan dia pengsan seketika apabila hentakan kuat dan hanya tersedar kejadian malang menimpa mereka apabila mendengar Wan Shuhada menjerit serta menangis dengan kuat.
“Ketika itu, dia juga tidak dapat bergerak kerana tersepit dan meminta pertolongan orang ramai untuk membawa keluar cucu saya.
“Setakat ini, Iwan dilihat reda dan kuat semangat menerima dugaan ini. Cuma kami kena tengok-tengokkan Wan Shuhada, kerana dia terkejut dengan kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah kereta Proton Gen 2 dipandu seorang wanita berusia 31 tahun tiba-tiba mengundur laju sehingga terbabas ke Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh dan bertembung dengan kereta dipandu Iwan. Beliau berkata, pemandu Gen 2 itu tidak cedera.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat dan mereka yang cedera di hantar ke HRPZ,” katanya.
sumber: kezoom
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment