Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah menerima sebuah kereta jenis Mercedes C200 daripada suami Mohd Yani Abdul Rahman sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke 10 pada Khamis.
Ifa, 39, berkata, dia tidak menyangka menerima hadiah tersebut kerana tujuan asalnya ke kedai kereta adalah untuk membeli sebuah kereta keluarga.
"Hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan kami ke sepuluh tahun dan tidak sangka suami menghadiahkan saya sebuah kereta Mercedes.
Pada asalnya kami ke kedai kereta adalah untuk membeli kereta keluarga iaitu jenama Hyundai Santa Fe dan tidak sangka dia belikan satu juga untuk saya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Ifa berkahwin dengan Mohd Yani pada 24 April 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mohammad Shakir Aqili yang berusia sembilan tahun.
Ifa Raziah berkongsi kegembiraannya dengan peminat menerusi Instagram miliknya mengenai hadiah kereta yang dia terima
Manakala dia juga mempunyai seorang anak perempuan iaitu Sharifah Putri Umairah, 15, hasil perkahwinan pertamanya.
Tambah Ifa, ia merupakan hadiah pertama sempena ulang tahun perkahwinan mereka, manakala kereta keduanya.
"Saya bukan jenis yang suka bertukar kereta, dulu suami saya beri hadiah kereta sempena kelahiran anak pertama iaitu sembilan tahun lalu iaitu BMW 3 Series yang saya pakai hingga sekarang," ujarnya.
Sementara itu, bercerita tentang kehidupan rumah tangga, Ifa mengakui melalui pelbagai dugaan sepanjang 10 tahun hubungan tersebut.
Katanya, sifat tolaransi dan menerima seadaanya pasangan merupakan kunci kebahagian rumah tangga.
"Sepanjang sepuluh tahun ini memang saya bahagia biarpun apa orang kata tentang saya dan suami, saya tidak pernah peduli.
"Apa yang penting ialah percaya satu sama lain dan menerima diri masing-masing seadanya. Ia menjadi kekuatan kami sehingga kini," ujarnya.
Tambah Ifa, salah satu pengalaman pahitnya pula apabila diserbu Jabatan Agama Islam Kedah ketika menginap di sebuah hotel di negeri tersebut atas urusan kerja.
Katanya, perkara itu merupakan peristiwa yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.
"Saya tidak tahu ini kategori kenangan pahit atau manis tetapi ia memang tidak dapat dilupakan kerana kami disangka berkhalwat, walhal kami suami-isteri.
"Pada malam itu memang kecoh, bagaimanapun semuanya selesai apabila pihak yang membuat serbuan mendapat tahu kami pasangan yang sah," ujarnya.
Dalam pada itu, Ifa turut memberi nasihat kepada pasangan muda atau yang ingin mendirikan rumah tangga agar memikirkan kesediaan mereka sebelum mengambil keputusan untuk hidup bersama.
Katanya, sebuah rumah tangga yang dibina bukan untuk seketika sahaja, malah sepanjang hayat.
"Saya pun pernah mengalami kegagalan rumah tangga, kita tidak tahu jodoh kita sampai mana tetapi kalau boleh kita kekalkan apa yang kita ada.
"Bagi yang ingin berkahwin perlu fikir sebaik mungkin kerana bila kita berkahwin bermakna kita bersedia untuk berkongsi hidup dengan orang lain," katanya.
sumber: http://www.mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment