— category

[x]

Rossa Tidak Ajar Anak Hidup Mewah

on Saturday, 30 November 2013

Rossa mahu anak lelaki tunggalnya belajar hidup sederhana.

Penyanyi Indonesia Datuk Rossa tidak gemar memanjakan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan untuk hidup dalam suasana kemewahan walaupun beliau berkemampuan berbuat demikian.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 35, berkata, dia juga tidak pernah membeli mainan mahal untuk Rizky, 7, kerana bimbang anaknya itu tidak akan faham erti kesusahan apabila besar kelak.

"Walaupun dia masih kecil, tetapi saya tidak senangkan dia dengan membeli barang-barang mewah. Setakat ini barang paling mahal yang saya belikan ialah iPod jenis biasa untuk dia mendengar lagu.

"Malah telefon bimbit untuk memudahkan saya menghubunginya saya berikan kepada pembantu rumah untuk dijaga," katanya.

Rossa ditemui pada pratonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Khamis.
Rossa mengakui tidak pernah memanjakan Rizky kerana bimbang anaknya itu tidak akan memahami erti kesusahan apabila dewasa kelak.

Bagaimanapun kata Rossa dia tidak menolak kadang kala Rizky berasa keliru apabila melihat kehidupan glamournya sebagai selebriti.

Malah katanya, anak lelakinya itu sering bertanya dengannya mengenai layanan istimewa diberikan kepadanya tidak seperti mana ketika berada di rumah.

"Pernah sekali ketika menghantarnya ke sekolah, dia bersama bekas suami saya, Yoyo perlu beratur panjang dan dengan pantas dia meminta ayahnya potong barisan dan berkata 'kitakan artis'.

"Masa itu Yoyo berasa malu takut didengari orang sekeliling tetapi saya lihat dia semakin faham erti bersikap sederhana," katanya.

Sementara itu, menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Rossa bersama penyanyi Hafiz berduet bagi lagu runut bunyi drama berkenaan berjudul Salahkah.

Bukan Kerana Aku Tak Cinta bakal disiarkan pada setiap Isnin hingga Rabu bermula 9 Disember depan di Astro Mustika HD (saluran 134).
sumber: http://mstar.com.my/

'Jangan panggil KD lagi'


Krisdayanti sebar aura positif diri setiap kali disapa dengan nama asal

Keinginan serius yang secara tidak langsung menterjemahkan perubahan besar dalam diri diva Indonesia, Krisdayanti adalah melucutkan sapaan KD yang lama sebati dengannya.

Meskipun tidak mudah, keputusan itu tetap diambil sebagai mensyukuri nama asal yang diberikan kedua orang tuanya yang mempunyai pengertian tersendiri.

Saya membawa album terbaru ini untuk berbicara dengan lebih tulus, bukan lagi sekadar mengejar untung"
“Daya bermaksud kekuatan, manakala Yanti pula melambangkan diri saya sebagai wanita. Nama Krisdayanti membawa tenaga positif dan kekuatan itu ingin saya kongsi dengan semua orang.

“Meskipun tidak muda lagi, kita harus bersemangat meneruskan hidup,” kata bintang kelahiran Batu, Jawa Timur pada 24 Mac 1975 itu.

Krisdayanti berkata, hasrat untuk menggunakan nama penuhnya dilunaskan sejak album, I’m Sorry Goodbye yang dirakamkan pada 2007.

Bagaimanapun, disebabkan ramai sudah terbiasa dengan sapaan KD, perubahan yang dibawakan itu kurang disedari.
Namun kata penyanyi Menghitung Hari ini, sudah tiba masanya untuk dia memberitahu umum keinginan yang sudah lama tersimpan itu.

“Saya cuba mengubah kembali dengan menghargai nama yang diberikan orang tua. Bukan menolak sapaan KD kerana pada dasarnya, pangkal nama itu juga mempunyai kekuatan tersendiri.

“Namun apabila menganjak dewasa, saya rasa lebih tulus jika disapa umum sebagai Krisdayanti. Tetapi jika masih ada yang mahu memanggil KD, saya tiada masalah. Biarlah ia berubah perlahan-lahan,” katanya.

Permulaan panggilan pangkal nama penyanyi Mahadaya Cinta itu berlaku ketika dia menjayakan persembahan yang turut diserikan penyanyi antarabangsa di Bali.
“Ketika itu, Gloria Gaynor berdepan kesulitan untuk menyebut nama penuh saya justeru, kami memilih hanya menggunakan pangkal nama iaitu KD.

“Semakin dewasa, saya melihat kekuatan pada nama sebenar lalu saya terfikir, mengapa tidak saya memanfaatkannya sebagai nama komersial,” katanya yang sering membahasakan dirinya sebagai Yanti.
sumber: http://www.bharian.com.my/

Putera William Berang Rambut Uban Isteri Jadi Bualan

Putera William berang apabila mendapat tahu pihak media mengulas berita negatif mengenai penampilan Kate Middleton.

Liputan meluas oleh media di Britain mengenai rambut Kate Middleton yang beruban telah menimbulkan kemarahan kepada suaminya, Putera William.

Menurut laporan Showbizspy, William berang apabila media di negara itu memperbesar-besarkan isu berkenaan sehingga menjadi bualan orang ramai.

"William berang apabila media memaparkan hal negatif tentang isterinya dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang bertanggungjawab menyebarkan berita tersebut," kata sumber terdekat pasangan itu.

Terdahulu, rambut Kate dikatakan mengalami masalah akibat rawatan jenis 'balayage' yang dilakukannya.

Malah difahamkan kerosakan itu telah menyebabkan perunding rambut Kate, James Pryce telah dipecat.

Bagaimanapun sumber lain memberitahu James hilang pekerjaannya gara-gara menggunakan foto Kate tanpa izin untuk tujuan promosi kerja sampingannya.
sumber: http://mstar.com.my/

Lelaki fanatik burger ubah rumah jadi muzium burger


Katil dan bilik beliau juga dihias menggunakan konsep burger dan makanan ringan lain.

SEORANG penggemar burger dari Amerika Syarikat (AS) sanggup mengubah rumahnya menjadi muzium burger dan beberapa makanan segera lain.

Harry Sperl, 57, mengumpul koleksi Burgerbilia selama 23 tahun sebelum dipamerkan di rumahnya di Daytona Beach, Florida.

“Saya menghias katil dan telefon berbentuk burger dan keju. Motosikal saya juga digelar Hamburger Harley kerana dihiasi dengan kentang bersama sos tomato,” katanya. Menurutnya, terdapat lebih 1,000 cendera hati dan hiasan dalaman berkonsepkan burger.

“Walaupun dilahirkan di Wettenberg, Jerman, makanan penduduk AS itu amat sebati dengan diri saya,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, kini beliau terpaksa mengurangkan pengambilan burger kerana mengalami masalah kolesterol.

“Masalah kolesterol bukan penghalang untuk saya berhenti menikmati burger. Saya hanya mengurangkan tabiat pengambilan burger iaitu hanya tiga kali sehari,” katanya dipetik dari laporan DailyMail
Sumber: Sinar Harian
 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved