Kualiti Penyanyi Masa Kini

[x]

Kualiti Penyanyi Masa Kini

on Friday 28 June 2013



JIKA dilihat dari sudut positif, kehadiran ramai penyanyi baharu memberi gambaran pertambahan penyanyi pelapis dan ia juga menjadi pencetus kepada perkembangan industri hiburan tempatan.

Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan adakah kemunculan barisan penyanyi baharu itu memenuhi kualiti yang dimahukan industri muzik negara?

Ada yang beranggapan kemunculan penyanyi baharu, terutamanya penyanyi berkumpulan dilihat kurang bersedia dari segi mental dan fizikal. Lebih malang, ada yang memiliki vokal yang teruk.

Begitupun, penyanyi kumpulan itu tetap diterima, malah menjadi kegilaan remaja khususnya wanita.

Adakah perkara itu disebabkan wajah cantik atau kacak yang dimiliki? Mungkinkah kerana lagu-lagu mereka catchy atau mudah diingat, di samping lirik yang kebanyakannya bertemakan percintaan, persahabatan dan seksual yang bersesuaian dengan jiwa anak-anak muda zaman sekarang?

Perkara itu seterusnya menjadi pelaris kepada penjualan single atau album mereka, biarpun pada hakikatnya, kualiti vokal yang dimiliki tidak bagus.

Mengulas mengenai perkara tersebut, penyanyi hebat yang sering dijemput sebagai pengkritik program-program realiti nyanyian televisyen, Ziana Zain melontarkan pandangan beliau.

Penyanyi baharu tiada jiwa

"Memang kalau dilihat pada masa ini, penyanyi yang tiada rupa tetapi memiliki vokal yang hebat tidak berjaya dalam industri. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak memiliki vokal yang hebat tetapi ada rupa berjaya pula dalam industri," ulas pelantun lagu Madah Berhelah itu kepada Kosmo!.

Pada hakikatnya, kata Ziana, nyanyian penyanyi-penyanyi baharu tidak mempunyai jiwa dan sebutan lirik juga tidak begitu jelas.

Berbanding penyanyi-penyanyi lama, ujar Ziana, mereka bekerja keras untuk menghayati melodi dan lirik sesebuah lagu.

"Lagu-lagu sekarang banyak dipengaruhi oleh muzik luar seperti K-Pop. Mereka sebenarnya tidak boleh menyanyi dengan bagus sebaliknya sekadar miming.

"Namun, itulah selera generasi sekarang. Mereka mahukan lagu yang sebegitu, tambahan dengan rupa penyanyi yang kacak," jelas Ziana.

Mengulas mengenai hala tuju penyanyi baharu dan perkembangan industri muzik pada masa akan datang, kata Ziana lagi, industri seni tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia juga adalah kemahuan generasi semasa.


ONE (kanan) bersama tiga anggota Forteen yang lain (dari kiri), Aris, Izzue dan Ameerais. Forteen pernah dikritik kerana memanipulasi wajah dan penampilan anggotanya untuk meraih populariti.

Ulasnya, dulu syarikat rakaman akan memastikan artis-artis di bawah naungan mereka berkualiti. Sebaliknya sekarang, siapa sahaja boleh menjadi penyanyi popular hanya menerusi laman internet seperti YouTube.

Begitupun, ujar Ziana, penyanyi-penyanyi baharu ini dilihat tidak akan bertahan lama. Ziana juga tidak menolak hakikat ada penyanyi baharu yang bagus.

"Tidak semua penyanyi baharu tidak bagus. Ada segelintirnya sangat bagus tetapi tidak begitu menyerlah - Najwa Mahiaddin contohnya," katanya.

Jelas Ziana lagi, penyanyi baharu juga dimanjakan dengan teknologi yang mampu menjadikan vokal mereka kedengaran hebat ketika merakamkan lagu.

"Penyanyi lama tidak mempunyai teknologi untuk membantu dalam rakaman album seperti sekarang. Kadang-kadang sampai berjam-jam merakam lagu untuk jadikan nyanyian sempurna dari segi penghayatan dan juga kawalan nafas," ujarnya.

Komposer tersohor, Mohd. Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai pula turut menyuarakan pandangannya mengenai album tidak bermutu yang dihasilkan oleh penyanyi baharu.

Katanya, penyanyi yang belum layak merakamkan album itu akan memberi kesan negatif kepada industri muzik tempatan.

"Dalam industri muzik sekarang, ada pihak khususnya syarikat rakaman menjadikan wajah sebagai pertaruhan sekali pun tanpa berbekalkan bakat nyanyian yang sewajarnya," ujarnya.

Tambahnya, keghairahan syarikat rakaman menerbitkan album penyanyi berdasarkan wajah juga membuatkan kehadiran penyanyi kurang persiapan mental dan fizikal itu tumbuh bak cendawan selepas hujan.

sumber :http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp 



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved