Teroka Bidang Baru

[x]

Teroka Bidang Baru

on Tuesday, 25 June 2013


Asyraf bahagia dengan kehidupan dimilikinya kini sambil ditemani isteri dan anak tersayang.
MENYEBUT nama Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, pasti ramai di kalangan kita akan tertanya-tanya siapakah individu tersebut, namun apabila kita menyebut Asyraf Imam Muda, terus bermain di fikiran juara program realiti bercorak keagamaan, iaitu Imam Muda.

Asyraf yang mula dikenali setelah berjaya menjuarai rancangan terbitan Astro Oasis pada tahun 2010 itu sudah lama dikenali ramai sebagai seorang pendakwah dan penceramah generasi pelapis negara.

Lebih menarik, Asyraf juga menyandang gelaran tidak rasmi sebagai Ustaz Twitter apabila di laman sosial miliknya itu, dia sering diajukan dengan pelbagai persoalan berkaitan bidang agama.

Berbekalkan pengalaman kira-kira tiga tahun bergerak aktif sebagai penceramah, Asyraf pastinya sudah tidak mempunyai perasaan gentar apabila menyampaikan hujah-hujahnya kepada ratusan malah ribuan hadirin yang setia mendengar.

Namun, kini Asyraf bakal meneroka suatu bidang yang terlalu asing buat dirinya, iaitu bidang seni suara.
Jejaka berusia 29 tahun ini telah melancarkan album solo miliknya yang berjudul Rahmatan Lil'Alamin dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bidang hiburan merupakan suatu bidang yang mencabar dan kebiasaannya ia lebih dikaitkan dengan perkara-perkara berbentuk negatif dan bukan sebaliknya.
Perkara tersebut diakui oleh Asyraf namun percubaannya menjejakkan kaki dalam bidang tersebut merupakan suatu usaha yang dilakukannya untuk menyediakan hiburan berbentuk alternatif kepada masyarakat umum.

"Sewaktu saya mula menyatakan hasrat untuk bernyanyi, banyak juga kata-kata sindiran yang diterima tetapi bagi saya, ini adalah suatu perkara yang perlu saya lakukan.

"Album sulung ini sebagai satu percubaan kepada saya dalam memberikan suatu hiburan berbentuk alternatif, iaitu yang lebih bercorak kepada keagamaan," katanya yang mengakui tidak mudah bagi seorang berlatar belakang agama menyertai bidang ini.
Jelasnya, sebelum ini dia sering mengatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan apakah yang perlu dibuat, tetapi kini dia mengambil keputusan untuk melakukan dan bukan sebaliknya iaitu hanya bercakap.

"Ramai orang yang mengkritik industri hiburan sambil mengatakan apa yang sepatutnya dilakukan, dan ini merupakan usaha saya untuk melakukan perubahan dengan cara bernyanyi," katanya.
Asyraf juga berpendapat adalah tidak salah untuk seseorang itu bernyanyi dan berhibur, tetapi setiap individu itu perlu memastikan hiburan tersebut tidak keterlaluan sehingga melanggar batasan dalam agama.



sumber : http://www.utusan.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved