Salina: Tunggu tawaran berlakon filem

[x]

Salina: Tunggu tawaran berlakon filem

on Wednesday 31 July 2013

Filem Jalan Kembali Boh­sia 2 (Bohsia 2) arahan Syamsul Yusof hampir dua tahun lalu adalah filem lakonan terakhir Salina Saibi. Selepas lakonannya sebagai Amy iaitu seorang bohsia yang sudah insaf dalam filem itu, tiada lagi tawaran berlakon filem buat wanita ini.

Walaupun menang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (Bohsia 1), entah kenapa tiada pengarah yang melamar Salina untuk berlakon dalam filem mereka.

Biarpun hati membara untuk berlakon filem semula, namun dia terima hakikat barangkali belum rezekinya lagi dan terus menanti peluang itu menjelma semula.

Kedua-dua filem itu adalah terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan Salina tidak mengang­gap dia artis kegemaran syarikat itu, sebaliknya bersedia untuk berlakon dengan syarikat produksi lain juga.

SALINA masih menantikan tawaran berlakon filem buatnya.

“Peluang bekerja de­ngan ba­nyak syarikat produksi dan ramai pe­ngarah dapat memberi pengalaman berbeza kepadasaya. Setiap pe­ngarah ada cara mereka sendiri dan saya mahukan kelainan itu untuk memantapkan lagi lakonan.

“Bagaimanapun, selepas dua filem itu, belum ada pe­ngarah yang sudi me­ngambil saya berlakon dalam filem mereka,” katanya.

Salina yang ditemui pada majlis berbuka puasa yang diadakan pengarah Suhaimi Lua sempena tamat penggambaran telefilem Lebaran Kasih yang turut dilakonkannya berkata, buat masa ini dia banyak berlakon drama untuk Astro dan RTM.

“Selepas sekian lama, ini baru kali pertama saya dapat berlakon dalam drama yang bakal disiarkan di TV3. Terkejut juga apabila nama saya turut disenaraikan oleh stesen TV itu untuk tampil dalam drama raya bersama pelakon lain seperti Beego, Azam Pitt dan Tasha Shilla.

“Tawaran berlakon masih ada cuma tiada lamaran untuk berlakon filem. Bagaimanapun, saya bersyukur peminat masih me­ngingati saya dan pengarah juga memberikan saya pelbagai watak, tetapi mungkin ramai yang tidak tahu saya juga boleh berlakon komedi seperti dalam drama Diari Merah Jambu dan Satu Malam Di Malam Raya.

“Di sebalik watak hitam yang penonton lihat begitu serasi dengan saya, saya juga perlu menonjolkan sisi lain dalam perwatakan saya. Pe­ngarah Wan Sieran, orang pertama yang memberi ruang kepada saya membawakan watak komedi. Pun begitu ia kurang mendapat pendedahan menyebabkan ramai yang beranggapan saya hanya boleh buat watak wanita garang dan lasak seperti watak anggota polis seperti dalam drama Gerak Khas,” katanya.

Seperti artis lain, kehadiran Ramadan juga dijadikan Salina bulan untuk menambah rezeki dengan menjual biskut raya. Sudah lima tahun dia mengusahakannya bersama ibunya.

“Ibu dibantu kawan­nya dan jika tiada sebarang aktiviti saya akan turut menolong mereka. Promosi dilakukan daripada mulut ke mulut oleh pelanggan setia kami,” katanya.

Menceritakan persiapan pada Syawal ini, dia lebih memberikan tumpuan kepada anak tunggalnya, Farah Syakir Azmir yang berusia empat tahun.

“Bila tiba Aidilfitri, kanak-kanak yang lebih seronok. Kita sebagai ibu bapa me­nyediakan apa yang patut buat mereka,” katanya.

Jelas Salina, tiada masalah untuknya dan suami membahagikan jadual hari raya kerana kedua-dua keluarga menetap di Kuala Lumpur.

“Keluarga saya ting­gal di Cheras dan di sebelah suami pula di Ampang,” katanya.
sumber : http://www.hmetro.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved