
MENJADI seorang penghibur, suri rumah tangga dan usahawan pastinya menuntut pengorbanan waktu dan kudrat yang tidak berbelah bagi.
Hal itu tidak menjadi satu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan dalam satu-satu masa bagi Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid yang kini memasuki usia 48 tahun.
“Hidup sebagai seorang isteri dan ibu kepada empat orang cahaya mata adakalanya tidak mempunyai masa untuk diri sendiri.
“Selain menguruskan keluarga, kitaran hidup saya sehari-hari melibatkan kerjaya sebagai penyanyi dan perniagaan produk kecantikan saya iaitu Jerneh selain spa Jentayu.
“Kadangkala suami saya menasihatkan saya supaya berehat seketika, menarik nafas dan memberikan ruang untuk diri sendiri,” kongsi pelantun lagu Ku Mohon itu ketika sesi ramah mesra bersama pelanggan produk Jerneh di butik Triways, Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Rutin
Bicara Sheila bertambah rancak apabila disulami soalan berkaitan penjagaan kesihatan, kecantikan dan petua-petua yang diamalkannya selama hampir 30 tahun bergelar penyanyi.
Katanya, disebabkan kehidupannya sebagai wanita moden yang lasak dan sentiasa aktif, dia hanya mengekalkan rejim senaman yang diamalkannya sejak beranak dua hingga kini.
“Jika kita bandingkan antara penat bersenam atau berehat, sudah pasti kita akan pilih rutin yang tidak memenatkan.
“Tapi apabila stamina saya mula goyah kesedaran itu timbul dengan sendirinya dan sejak itu saya memilih untuk bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” tambahnya.
Sheila turut berkongsi petuanya menjaga vokal. Katanya, dia perlu mendapatkan tidur yang mencukupi setiap kali menjelang persembahan.
“Sehari sebelum saya membuat persembahan saya mesti mendapatkan tidur yang mencukupi. Saya tidak berpantang makan dan kegemaran saya adalah cili padi.
“Biasanya sebelum naik ke pentas saya akan minum air suam dengan kadar mencukupi. Selain itu, tiada yang istimewa atau amalan luar biasa,” katanya.
Keluarga
Sheila turut membuka cerita mengenai anak lelakinya, Megat Abdul Majid Aziz, 17, yang kini menuntut di Universiti Full Sail, Florida, Amerika Syarikat.
Megat kata Sheila kini sedang menuntut dalam jurusan Seni Rakaman tahun pertama dan dia terkejut melihat perubahan anak keduanya yang sangat cenderung dalam bidang tersebut.
“Saya sangat gembira dengan perubahan yang dia lakukan sekarang. Kalau dulu penat saya menyuruhnya belajar rajin-rajin tapi dia menolak.
“Kemudian saya menghantarnya ke sekolah Wadi Sofia di Kelantan kerana bagi saya kalau dia tidak minat belajar sekurang-kurangnya menjadi seorang Muslim sejati.
“Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya nampak usahanya untuk mendapatkan sendiri biasiswa dan menghadiri sesi temu duga untuk memasuki universiti tersebut.
“Alhamdulillah, dia sudah nampak jalan yang ditujunya sekarang dan saya menyokong penuh usahanya kali ini. Inilah masanya untuk dia membuktikan kemampuannya,” jelas Sheila.
Selain Megat, Sheila dikurniakan seorang cahaya mata perempuan menerusi perkahwinan pertamanya dengan pemuzik terkenal Roslan Aziz iaitu Wan Nur Khaleda, 21.
Manakala, perkahwinan keduanya bersama Hashridz Murshim Hassim atau Acis, Sheila mendapat dua orang cahaya mata iaitu Khadeja Zaireen Murshim, 7, dan Khalefa Laila Murshim, 5.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment