Kami tak berniat sindir nasi lemak MAS, kata Air Asia

[x]

Kami tak berniat sindir nasi lemak MAS, kata Air Asia

on Sunday 9 February 2014

Nasi Lemak Lengkap

KUALA LUMPUR: Hampir dua minggu selepas berita 'nasi lemak telanjang' Malaysia Airlines (MAS), kini saingan mereka AirAsia sudah pun 'membalasnya' dengan iklan 'nasi lemak lengkap' yang dimuatkan dalam akhbar mingguan tempatan.

AirAsia mengiklankan menu kegemaran rakyat Malaysia itu dengan tulisan 'Nasi Lemak kami Lengkap!' ditambah dengan slogan 'Sejuklah di udara kalau telanjang!'.

Bagaimanapun Air Asia ketika dihubungi Astro AWANI hari ini memaklumkan bahawa tujuan iklan itu bukanlah untuk membidas mana-mana pihak.

Dalam kenyataan rasmi oleh jurucakap mereka, katanya tujuan iklan tersebut adalah untuk memberitahu orang ramai bahawa masih ada nasi lemak yang sedap atas penerbangan.

"Isu nasi lemak sedang hangat buat masa ini dan iklan AirAsia itu untuk mengingatkan pengguna bahawa ada nasi lemak lengkap yang dihidangkan 35,000 kaki di udara dalam semua penerbangan AirAsia," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu chef selebriti terkenal tanahair, Chef Wan dalam akaun Instragramnya hari ini menyifatkan iklan AirAsia itu sebagai 'persaingan yang sihat' di mana pemenangnya tentulah yang terbaik.

Beliau turut memesan kepada MAS agar mengotakan janji mereka untuk 'mengambil tindakan segera untuk mempertingkatkan mutu makanan di dalam penerbangan' mereka.

"Jika tidak, lain kali saya boleh bawa sebiji timun dan rebus telur sendiri atas pesawat dan kongsikannya dengan penumpang sebelah," gurau Chef Wan.

Chef Wan turut memberitahu bahawa tindakan beliau telah dipuji dan disokong oleh krew-krew semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, kerana menurutnya perkara sudah lama diketengahkan oleh mereka namun tidak diendahkan.

Tambah beliau, sebagai Duta Makanan Malaysia, beliau mahukan yang terbaik untuk negara apatah lagi nasi lemak merupakan juadah nombor satu Malaysia, dan katanya amatlah memalukan jika kita bersifat 'cakap tak serupa bikin'.

Chef pada 29 Jan lalu telah menaiki penerbangan kelas ekonomi ke Bangkok, Thailand di mana beliau telah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap nasi lemak yang dihidangkan dalam pesawat milik MAS.

Chef Wan yang tidak berpuas dengan hidangan tersebut, menggelarkan nasi lemak itu sebagai 'telanjang' kerana hanya mengandungi nasi dan sambal, iaitu tanpa kacang, timun dan ikan bilis, berdasarkan gambar yang dimuatnaik di akaum Instagramnya.

Gambar yang dimuatkan itu juga turut menerima pelbagai reaksi di media sosial yang rata-ratanya menyokong tindakan Chef Wan itu. - Astro Awani
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved