Pada saat ini, jangan kita meruntun hiba kerana ingatlah Allah sebaik tempat untuk mengadu nasib. Sesungguhnya, Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Jadi dalam waktu tertekan dan berduka, banyak-banyaklah mengingati Allah .
Pelakon cantik berbakat besar Nur'Arina Abdul Malek (20 tahun) atau nama popularnya Erin Malek sudah putus cinta beberapa bulan lalu dengan bekas kekasihnya Walid. Setelah tiga tahun bercinta, kini mereka bawa haluan hidup masing-masing.
"Erin hanya merancang, Allah sahaja mengetahui segalanya. Sebenarnya hubungan kami putus disebabkan berlaku masalah. Bukannya daripada orang ketiga, tapi berpunca daripada kami sendiri.
"Di awal percintaan, hubungan kami sangat indah. Namun, lama-kelamaan kami selalu bergaduh kerana salah faham. Selepas bergaduh masing- masing minta maaf, tetapi pergaduhan berulang lagi. Keadaan ini membuatkan kami sudah tidak serasi kerana masalah antara kami tak pernah selesai.
"Punca kami berdua bergaduh tu biasanya disebabkan masing-masing sibuk dengan kerjaya. Erin dengan jadual lakonan yang tidak menentu siang dan malam, Walid pula sibuk dengan perniagaannya.
"Sesudah putus, kami tak pernah berhubung sehinggalah ke hari ini. Namun, tipulah kalau Erin cakap tak pernah merinduinya. Jujur Erin katakan, perasaan sayang tu masih ada, tapi cinta tu sudah tiada lagi. Kesibukan berlakon juga buat Erin perlu melupakannya.
"Selepas putus cinta, Erin suka berfikiran positif serta menganggap kami sudah tiada jodoh. Lagi pun kami masih muda, terlalu banyak yang perlu difikirkan untuk masa depan. Masing- masing ada tanggungjawab.
"Apa yang dapat Erin simpulkan, perpisahan mengajar Erin agar lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk bercinta apabila bertemu dengan lelaki yang diidamkan. Perlukan masa untuk kenal hati budi," ujarnya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment