Selama ini peminat cuma klik butang ‘follow’ saja pada Instagram atau Twitter selebriti tempatan. Maklumlah, mereka adalah idola dan mengikuti perkembangan terkini mereka di laman sosial adalah satu kemestian bagi peminat.
Berbanding Facebook, ternyata Twitter dan Instagram lebih popular dan menjadi pilihan kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan sendiri.
Begitu juga kesannya kepada artis popular tempatan yang mana tidak semestinya jika berkuasa di laman Twitter, di Instagram juga ramai pengikut atau ‘followers’ dan sebaliknya.
Bagaimanapun, berdasarkan statistik terkini jumlah pengikut di dua laman sosial berkenaan ternyata tiga selebriti wanita paling berpengaruh ketika ini iaitu Lisa Surihani dan Nora Danish serta penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza memiliki ‘followers’ paling ramai.
Di Twitter, Lisa memiliki pengikut paling ramai iaitu dua juta dan diikuti Siti sebanyak 1.3 juta manakala Nora memiliki pengikut seramai 2 juta.
Namun, Nora menguasai laman Instagram apabila mempunyai pengikut seramai 683,000, Siti (497,000) dan Lisa (490,000).
Tidak kurang juga tiga selebriti lelaki yang nampaknya masing-masing berlumba ‘mengaut’ pengikut tersendiri seperti pelakon kacak Aaron Aziz, pelawak Zizan Razak dan pelakon berbakat besar Shaheizy Sam.
Zizan mengatasi kedua-duanya apabila memiliki pengikut seramai 1.5 juta di Twitter berbanding Shaheizy sebanyak 1.48 juta manakala Aaron sebanyak 1.44 juta.
Tidak dinafikan, laman sosial banyak membantu dari segi populariti dan bukan bermaksud jika seseorang sudah berada di kemuncak perlu acuh tak acuh terhadap peminat mereka.
Sekurang-kurangnya, jika terlalu sibuk untuk berinteraksi dengan membalas ‘tweet’ mahupun komen peminat, mereka cuma perlu mengemas kini perkembangan terbaru pun sudah memadai.
Selagi masih berada dalam industri seni, amat penting untuk kekalkan momentum menerusi medium sebegitu agar peminat akan sentiasa merasa dekat dengan idola mereka.
Bagaimanapun, pesanan buat selebriti juga sebaik-baiknya dengan pengaruh yang kuat itu mereka seharusnya menimbang secara munasabah dulu segala perkara sebelum meletakkan di akaun masing-masing.
Maklumlah, akses terhadap mereka kini semakin mudah dan segala gerak-geri atau tindakan dalam perkataan mahupun gambar yang dipaparkan pastinya membawa kesan tersendiri.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment